Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran di Los Angeles merebak ke Hollywood; 100,000 penduduk diarah pindah, 5 maut

Jan 9, 2025 | 3:19 PM
Kerusi rumput yang cair berhampiran sisa rumah yang musnah terbakar selepas kebakaran Palisades melanda Pacific Palisades, California, pada 8 Januari 2025. 
Kerusi rumput yang cair berhampiran sisa rumah yang musnah terbakar selepas kebakaran Palisades melanda Pacific Palisades, California, pada 8 Januari 2025.  - Foto AFP

LOS ANGELES: Kebakaran hutan yang melanda Los Angeles kini merebak ke kawasan Hollywood Hills, selepas api di kawasan lain mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa, memusnahkan ratusan rumah dan menyebabkan sumber pemadaman kebakaran serta bekalan air berada di tahap kritikal.

Lebih 100,000 penduduk telah diperintahkan untuk mengosongkan kawasan tersebut ketika angin kencang, yang kering seperti badai, menyukarkan usaha memadamkan api dan menyemarakkan lagi kebakaran sejak ia bermula pada 7 Januari.

Lebih 1.5 juta isi rumah terputus bekalan elektrik di wilayah ini, menurut laman sesawang outage.us, susulan amalan syarikat utiliti di California memotong bekalan elektrik semasa angin kencang untuk meminimumkan risiko berlakunya kebakaran.

“Bencana kebakaran ini adalah yang terbesar,” kata Datuk Bandar Los Angeles, Cik Karen Bass, dalam sidang media selepas beliau memendekkan lawatan rasmi ke Ghana untuk pulang segera ke Los Angeles.

Pada malam 8 Januari, Ketua Bomba Los Angeles, Cik Kristin Cowley, mengumumkan kebakaran baru di Hollywood Hills memaksa lebih banyak penduduk dipindahkan dan meningkatkan jumlah kebakaran di Los Angeles County kepada enam kawasan.

Empat daripada kebakaran ini, termasuk dua kebakaran besar di bahagian timur dan barat bandar, tidak dapat dikawal langsung, menurut pegawai negeri. Kebakaran tersebut terus merebak ketika malam melabuhkan tirainya pada 8 Januari.

Ketua Bomba Daerah, Encik Anthony Marrone, berkata pasukannya menghadapi kesukaran mengawal kebakaran disebabkan skala dan kepantasan bencana alam itu merebak. “Kami melakukan usaha terbaik, namun menghadapi cabaran kerana tidak mempunyai anggota yang mencukupi di LA County meskipun semua jabatan telah dikerahkan untuk membantu,” katanya.

Di kawasan Hollywood Hills, kebakaran yang dikenali sebagai Sunset Fire itu telah membakar 50 ekar (20 hektar) tanah. Pasukan helikopter berjaya memperlahankan penyebaran api dengan menggugurkan air di kawasan terbakar.

Pihak Jabatan Bomba Los Angeles telah mengeluarkan arahan pemindahan untuk kawasan antara Hollywood Boulevard di selatan, Mulholland Drive di utara, Lebuhraya 101 di timur serta Laurel Canyon Boulevard di barat. Kawasan ini melibatkan lokasi ikonik industri hiburan, termasuk Dolby Theater – tempat berlangsungnya majlis Oscar.

Acara pengumuman pencalonan Oscar yang dijadualkan minggu hadapan telah ditangguhkan selama dua hari akibat kebakaran ini, menurut penganjur.

Di bahagian barat Los Angeles, Palisades Fire telah memusnahkan 6,406 hektar kawasan berbukit antara Santa Monica dan Malibu, serta ratusan struktur. Rakaman udara oleh KTLA menunjukkan blok demi blok rumah yang masih berasap di Pacific Palisades, dengan sesekali diselangi oleh api yang masih marak.

Sementara itu, di timur, Eaton Fire telah memusnahkan 4,289 hektar tanah di kaki pergunungan San Gabriel, meranapkan 1,000 struktur dan meragut sekurang-kurangnya lima nyawa, menurut pegawai.

Presiden Joe Biden, yang mengisytiharkan kebakaran ini sebagai bencana besar, telah bertemu Gabenor California, Encik Gavin Newsom, di sebuah balai bomba di Santa Monica untuk mendapatkan taklimat mengenai usaha pemadaman api.

“Kami akan lakukan apa sahaja dan selama mana yang diperlukan untuk mengawal kebakaran ini… Ia akan mengambil masa yang lama,” kata Encik Biden di balai bomba tersebut.

Encik Biden, yang hanya tinggal beberapa hari sebelum menyerahkan jawatan kepada Presiden terpilih Donald Trump pada 20 Januari, telah membatalkan lawatan ke Italy untuk memberi fokus sepenuhnya kepada usaha menyelaras respons persekutuan terhadap kebakaran ini.

Presiden dipilih, Encik Trump menggunakan platform media sosialnya untuk membuat dakwaan tanpa asas yang mengatakan kekurangan air berpunca daripada dasar alam sekitar negeri itu sendiri.

Encik Trump berkata, air hujan sedang dialihkan “untuk melindungi ikan yang pada asasnya tidak bernilai”.

Kebanyakan sumber air Los Angeles adalah dari Sungai Colorado dan sektor pertanian, yang mengambil sebahagian besar bekalan air yang mengalir ke Selatan California itu, berbanding untuk kegunaan kediaman atau memadamkan kebakaran.

Ketua eksekutif Jabatan Air dan Tenaga Los Angeles, Cik Janisse Quinones, merayu orang ramai agar menjimatkan penggunaan air susulan kesemua pili bomba di Pacific Palisades kering.

“Kami sedang berjuang menangani kebakaran hutan dengan sistem bekalan air bandar, dan ini benar-benar mencabar,” katanya.

Dengan anggaran awal kerosakan dan kerugian ekonomi mencecah lebih AS$50 bilion ($68.4 bilion), bencana ini dianggap sebagai salah satu kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles, dan usaha pemulihan dijangka memakan masa yang lama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg