Topik diikuti
Pergi ke BHkuKebakaran hutan di Kalimantan, Sumatera ancam hidupan liar
Habitat monyet probosis, gajah, orang utan dan pelbagai spesies lain teruk terjejas
Kebakaran hutan di Kalimantan, Sumatera ancam hidupan liar
JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah yang melanda Kalimantan kini membawa kesan serius terhadap hidupan liar.
Sekurang-kurangnya 12 monyet probosis, spesies monyet berhidung panjang yang hanya ditemui secara semula jadi di Borneo mati, dan puluhan orang utan mengalami masalah pernafasan, kecederaan terbakar dan kekurangan makanan akibat habitat yang musnah.
Krisis itu berlaku ketika hampir 900,000 hektar tanah dilaporkan terbakar di Kalimantan, Sumatera dan Papua sehingga akhir Ogos, dengan jerebu turut merebak merentasi sempadan ke Malaysia, Singapura dan Filipina.
Lebih 560,000 hektar habitat gajah Sumatera terjejas akibat kebakaran hutan yang semakin meluas di pulau itu, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap spesies terancam kritikal yang dianggarkan hanya berbaki sekitar 1,320 hingga 1,635 ekor di habitat liar.
Laporan terbaharu kumpulan alam sekitar, Geopix, mendapati kira-kira 560,758 hektar habitat gajah terjejas akibat kebakaran antara Ogos dengan awal September.
Keadaan itu membimbangkan kerana jumlah gajah Sumatera sudah merosot sekitar 45 peratus sepanjang dua dekad lalu, berdasarkan perangkaan rasmi.
Pegawai kanan kempen hidupan liar Geopix, Cik Annisa Rahmawati, berkata kebakaran yang masih berlaku kini mengancam puluhan kawasan yang penting bagi pemuliharaan hidupan liar.
Ketua Balai Pemuliharaan Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Selatan, Encik Agus Ngurah Krisna, berkata ular sawa dan ular tedung selar yang terbakar turut ditemui di kawasan berkenaan.
Ketua desa setempat menganggarkan kira-kira 60 monyet probosis hidup di kawasan itu sebelum kebakaran berlaku.
Kawasan berkenaan turut menjadi habitat lutung kelabu – sejenis monyet daun berwarna kelabu dan berekor panjang.
Menurut Encik Agus, bangkai haiwan yang ditemui itu sudah dipindah dan ditanam, sementara pegawai BKSDA meneruskan pencarian bagi mengesan hidupan liar lain yang mungkin cedera atau terperangkap akibat kebakaran dan asap tebal.
BKSDA juga sedang menilai tahap kerosakan habitat bagi menentukan sama ada haiwan yang terselamat masih boleh hidup di kawasan itu atau perlu dipindahkan ke tempat lain.
Monyet probosis (Nasalis larvatus), yang terkenal dengan hidung panjang serta bulu berwarna perang kemerah-merahan, hanya ditemui secara semula jadi di Borneo.
Haiwan itu turut memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan dengan membantu menyebarkan biji benih menerusi najisnya, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan semula tumbuh-tumbuhan.
Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menyenaraikan monyet probosis sebagai spesies terancam.
Data BKSDA Kalimantan Selatan menunjukkan wilayah itu mempunyai kira-kira 3,757 monyet probosis pada 2025.
Kebakaran yang berlarutan turut menjejas usaha melindungi orang utan, khususnya apabila asap tebal menyelubungi kawasan pemuliharaan dan memusnahkan sumber makanan di habitat semula jadi haiwan itu.
Di Kalimantan Tengah, 21 daripada 230 orang utan di pusat pemulihan Yayasan Kelangsungan Hidup Orang Utan Borneo (BOSF) di Palangka Raya mengalami jangkitan saluran pernafasan ketika jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah terus menyelubungi bandar tersebut.
Orang utan yang terjejas menunjukkan gejala termasuk batuk dan simptom seperti selesema.
Kakitangan pusat itu memberikan ubat, multivitamin serta rawatan menggunakan nebulizer bagi membantu haiwan yang mengalami masalah pernafasan.
Keadaan lebih membimbangkan dilaporkan di Kalimantan Barat, antara wilayah yang paling teruk dilanda kebakaran.
Pihak berkuasa pemuliharaan bersama pertubuhan alam sekitar sejauh ini menyelamatkan tiga orang utan yang ditemui dalam keadaan tenat.
Doktor haiwan yang juga Pengarah Eksekutif, Yayasan Pemulihan Alam dan Hidupan Liar Indonesia (Yiari), Dr Karmele Llano Sanchez, berkata pasukannya menyelamatkan seekor ibu orang utan yang terlalu kurus bersama anaknya di Desa Penjalaan pada 12 September lalu.
“Ibu orang utan itu mengalami dehidrasi teruk dan kelihatan pucat, selain melecur pada kedua-dua kakinya.
Kecederaan itu berkemungkinan berlaku ketika ia berjalan merentasi kawasan tanah gambut yang sedang terbakar,” katanya.
Pemeriksaan veterinar turut mendapati gigi haiwan itu mengalami kehausan teruk dan ia menghidap anemia serius.
Menurut Dr Karmele, keadaan itu mungkin berpunca daripada kekurangan sumber makanan sehingga memaksa orang utan berkenaan memakan kulit pokok atau sumber makanan lain yang tidak sesuai.
Dalam operasi berasingan, seekor lagi orang utan diselamatkan di Desa Padu Banjar, daerah Simpang Hilir.
Haiwan itu disyaki mengalami jangkitan saluran pernafasan akut selepas terdedah kepada asap kebakaran hutan dan tanah.
Kematian tenggiling, rusa, burung dan ular turut dilaporkan di kawasan lain yang dilanda kebakaran.
Keadaan itu menimbulkan cabaran besar kepada usaha pemuliharaan kerana haiwan yang terselamat bukan sahaja berdepan ancaman api dan asap, malah kehilangan habitat serta sumber makanan yang diperlukan untuk terus hidup. – Agensi berita.
