NEW DELHI: Pihak berkuasa telah memulakan siasatan kehakiman dan jenayah berhubung letupan dan kebakaran di sebuah kuil di Kerala, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 106 orang terbunuh dan 383 cedera.
Ia berlaku semasa ribuan penganut berada di Kuil Puttingal pada Ahad (10 Apr) bagi menyaksikan pertunjukan bunga api tahunan, kemuncak perayaan untuk menandakan Vishu, tahun baru tempatan.
Berita televisyen menunjukkan rakaman pertunjukan bunga api pada waktu awal pagi tiba-tiba membawa kepada letupan.
Para pegawai tempatan berkata percikan daripada salah satu bunga api jatuh ke dalam bilik simpanan di mana selebihnya disimpan, menyebabkan letupan.
Pegawai berkata pengurusan Kuil Puttingal di daerah Kollam itu meneruskan pertunjukan bunga api walaupun tidak diberi kebenaran oleh pihak berkuasa.
"Jawatankuasa kuil telah membuat permintaan untuk pertunjukan bunga api, tetapi pentadbiran tempatan menolaknya. Namun, mereka meneruskannya. Jadi banyak syarat dicabuli, termasuk cara mereka simpan mercun di dalam bilik itu," Encik P.T. Chacko, setiausaha akhbar kepada Ketua Menteri memberitahu akhbar The Straits Times.
"Kami telah mengadakan satu siasatan kehakiman dan jenayah - siasatan kehakiman untuk mengetahui apa berlaku dan siasatan jenayah bagi menetapkan tanggungjawab," katanya.
Polis berkata pegawai tertinggi kuil itu telah menghilangkan diri.
Salah seorang kontraktor bertanggungjawab bagi pertunjukan bunga api meninggal dunia dalam kemalangan tersebut, dan anaknya berada di hospital dengan 50 peratus kelecuran.
Lima pekerja kontraktor dua beranak itu ditangkap, menurut laporan media India.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, bergegas ke Kerala dengan sebuah pasukan doktor, termasuk pakar kelecuran, untuk pergi tapak kejadian dan melawat mangsa yang cedera di hospital.