Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran maut di Jakarta papar risiko sesak penduduk

Nov 11, 2024 | 1:53 PM
Gambar merakam harta benda yang rosak selepas kebakaran yang memusnahkan ratusan rumah di kawasan padat penduduk di Manggarai, Jakarta pada 13 Ogos. Pada 8 November pula, rumah-rumah musnah akibat kebakaran yang melanda Desa Papanggo, Kecamatan Tanjung Priok, Jakarta Utara.
Gambar merakam harta benda yang rosak selepas kebakaran yang memusnahkan ratusan rumah di kawasan padat penduduk di Manggarai, Jakarta pada 13 Ogos. Pada 8 November pula, rumah-rumah musnah akibat kebakaran yang melanda Desa Papanggo, Kecamatan Tanjung Priok, Jakarta Utara. - Foto AFP

JAKARTA: Kebakaran maut di kawasan kejiranan padat penduduk Tanjung Priok, Jakarta Utara, sekali lagi menyerlahkan bagaimana jumlah penduduk bandar yang bertambah dan perancangan bandar yang lemah meningkatkan risiko kebakaran sedemikian.

Empat sekeluarga terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di Desa Papanggo, Tanjung Priok sekitar 1.30 pagi pada 8 November.

Ketua Badan Pengurusan Bencana (BPBD) Jakarta, Encik Isnawa Adji. berkata kebakaran bermula daripada litar pintas di sebuah rumah dan merebak dengan cepat ke rumah-rumah berjiran dengannya.

Sebanyak 13 kereta bomba dan sekitar 70 anggota kecemasan dikerahkan dan berjaya memadamkan api dalam masa dua jam.

Dua bangunan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, dan kerugian dianggar sekitar 900 juta rupiah ($76,000).

Kebakaran itu berlaku hanya beberapa minggu selepas satu lagi kebakaran berlaku di kawasan padat penduduk di Tambora, Jakarta Barat, mengorbankan lima orang dan memusnahkan 30 rumah.

Pada Ogos, litar pintas turut mencetuskan kebakaran besar di Manggarai, Jakarta Selatan, memusnahkan lebih 600 bangunan dan menyebabkan lebih 3,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Api marak di luar kawalan buat seketika, kerana jalan raya di kawasan kejiranan yang sempit itu hanya selebar kira-kira satu meter, menghalang trak bomba daripada sampai ke lokasi kejadian untuk memadamkan api.

Jakarta menempatkan 11 juta penduduk, sekali gus antara bandar paling padat di dunia.

Pada 2023, ia mempunyai purata 16,100 orang yang tinggal di setiap kilometer persegi, kepadatan lebih besar daripada Bandar New York di Amerika Syarikat, yang mempunyai 11,300 penduduk setiap kilometer persegi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg