Topik diikuti
Pergi ke BHkuKebakaran perkhemahan Rohingya di Bangladesh 'perbuatan sabotaj'
Kebakaran perkhemahan Rohingya di Bangladesh 'perbuatan sabotaj'
DHAKA: Satu kebakaran yang mengakibatkan ribuan penduduk Islam Rohingya kehilangan tempat kediaman di kawasan perkhemahan di Bangladesh, dipercayai "perbuatan sabotaj yang sengaja dirancang," menurut sebuah panel siasatan di sini Ahad lalu. Hampir 2,800 khemah dan lebih 90 kemudahan termasuk hospital dan pusat pendidikan, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 5 Mac lalu, mengakibatkan lebih 12,000 orang kehilangan tempat berteduh, kata para pegawai. Lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di puluhan ribu pondok yang dibina dari buluh dan kepingan plastik tipis di daerah perbatasan Cox Bazar, kebanyakan mereka melarikan diri daripada diburu pihak tentera di Myanmar pada 2017. "Kebakaran itu adalah sabotaj yang dirancangkan," kata Encik Abu Sufian, ketua jawatankuasa siasatan seramai tujuh orang, kepada agensi berita Reuters, melalui telefon dari Cox Bazar. Beliau berkata kebakaran itu berlaku di beberapa tempat secara serentak, membuktikan ia dirancangkan. Katanya lagi, kejadian itu disengajakan, bagi mempamerkan kekuasaan mereka ke atas kawasan perkhemahan itu, oleh kumpulan militan. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan kumpulan tersebut. "Kami sarankan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, bagi mengenal pasti kumpulan di sebalik insiden itu," kata beliau sambil menambah bahawa laporan tersebut adalah berdasarkan maklumat daripada 150 orang yang menyaksikan kejadian tersebut. Panel siasatan itu juga menyarankan pembentukan unit perkhidmatan bomba yang berasingan, untuk kawasan perkhemahan Rohingya. Setiap blok khemah Rohingya perlu dilebarkan bagi membolehkan kereta bomba bergerak dan pembinaan tangki air. Khemah yang didirikan di situ juga harus menggunakan bahan-bahan yang tidak mudah terbakar. Kebakaran sering berlaku di khemah-khemah yang penuh sesak. Satu kebakaran besar berlaku pada Mac 2021, mengakibatkan 15 pelarian terbunuh dan memusnahkan lebih 10,000 kediaman. Jenayah yang semakin menjadi-jadi, keadaan lingkungan hidup yang bermasalah dan tiada kemungkinan kembali ke Myanmar, mendorong lebih ramai pelarian meninggalkan Bangladesh dengan menaiki bot. Mereka melarikan diri ke Malaysia dan Indonesia, terpaksa menghadapi risiko terhadap nyawa mereka. Data Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 348 orang Rohingya dipercayai mati di laut pada 2022. - Reuters.