Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kededua anak Jokowi sedia ikut jejak bapa

Jan 28, 2023 | 5:30 AM
KELUARGA POLITIK: Encik Gibran Rakabuming Raka (kiri), yang merupakan anak sulung Presiden Jokowi kini memegang jawatan Wali Kota Surakarta, Jawa Tengah. Beliau turut mengatakan adiknya, Encik Kaesang Pangarep (kanan), turut memendam minat bergiat dalam politik negara itu. - Foto KAESANG / INSTAGRAM, REUTERS
KELUARGA POLITIK: Encik Gibran Rakabuming Raka (kiri), yang merupakan anak sulung Presiden Jokowi kini memegang jawatan Wali Kota Surakarta, Jawa Tengah. Beliau turut mengatakan adiknya, Encik Kaesang Pangarep (kanan), turut memendam minat bergiat dalam politik negara itu. - Foto KAESANG / INSTAGRAM, REUTERS -

JAKARTA: Kedua-dua orang anak lelaki Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, bersedia untuk mengikuti jejak politik bapa mereka dan ikut bersaing dalam pilihan raya 2024, menurut laporan akhbar Indonesia berbahasa Inggeris, Jakarta Post.

Anak sulung presiden Indonesia itu, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang kini memegang jawatan Wali Kota Surakarta, Jawa Tengah, berkata beliau bersedia untuk bersaing dalam pemilihan gabenor pada tahun depan.

Pemuda berusia 35 tahun itu berkata, adik lelakinya, Encik Kaesang Pangarep, 28 tahun, juga akan turut serta dalam pemilihan ketua wilayah, dalam pilihan raya akan datang.

"Saya sudah bocorkan. Saya bingung dan terkejut," kata Encik Gibran kepada wartawan di Jawa Tengah pada Rabu lalu, seperti yang dilaporkan oleh Detik.com.

Beliau juga meminta wartawan supaya bertanya sendiri kepada adiknya itu sama ada akan ikut bertanding bagi kerusi wali kota Surakarta.

"Anda tanyakan sendiri. Yang penting ialah, saya sudah merestuinya," kata Encik Gibran yang bercakap dalam bahasa Jawa.

Presiden Widodo, yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi, memulakan kerjaya politiknya dengan memenangi kerusi Surakarta, kampung halamannya, pada 2005.

Beliau kemudian maju dan menang kerusi gabenor Jakarta pada 2012, dan seterusnya memenangi pilihan raya presiden pada 2014.

Anak lelaki beliau, Encik Gibran, memenangi kerusi wali kota Surakarta pada 2021.

Encik Gibran berkata, adiknya, Encik Kaesang, yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman (F&B), telah memberitahu tentang cita-cita politiknya semasa makan malam bersama keluarga di kediaman peribadi Presiden Jokowi di Surakarta baru-baru ini.

"Kaesang sedang memikirkan (pilihannya)... beliau bertanya kepada saya, bertanya kepada ayah," kata Encik Gibran pada Selasa lalu di Dewan Bandaraya Surakarta, menurut laporan penerbitan Tempo.

Lulusan Sekolah Antarabangsa ACS dan Universiti Sains Sosial Singapura, Encik Kaesang memulakan perniagaan F&B, Sang Pisang dan Ternakopi, sebelum tamat pengajian universitinya.

Kededua beradik itu juga menubuhkan restoran Mangkok Ku, dengan kerjasama cef selebriti dan pengusaha kulineri, Arnold Poernomo, lapor akhbar Jakarta Post.

Encik Kaesang juga seorang YouTuber dan pemegang saham majoriti kelab bola sepak Persis Solo, yang bermain dalam liga utama Indonesia, Liga 1.

Beliau berkahwin dengan mantan ratu cantik, Cik Erina Sofia Gudono, pada Disember lalu.

Encik Gibran berkata, minat adiknya itu dalam bidang politik berkembang selepas menyaksikan ayahnya melaksanakan tugas, memeriksa pembangunan bandar di Surakarta.

Encik Gibran berkata, beliau tidak pernah cuba mempengaruhi adiknya, sambil menambah dengan berseloroh, "saya tidak mahu banyak saingan!"

Tetapi beliau turut merasakan bahawa adiknya itu mempunyai bakat dalam mempelajari sesuatu dan boleh memimpin dengan berkesan.

"Menurut penilaian saya sendiri, Kaesang telah bekerja keras untuk pasukannya dan kongres (persatuan bola sepak kebangsaan). Beliau terlibat langsung," kata Encik Gibran.

Mengenai kerjaya politiknya sendiri, Encik Gibran berkata beliau bersedia untuk bertanding dalam pemilihan gabenor pada 2024 jika dicalonkan oleh Cik Megawati Soekarnoputri, pengerusi Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), lapor Kompas.com.

Terdapat desas-desus yang mengatakan Encik Gibran akan bertanding merebut kerusi gabenor di Jakarta atau Jawa Tengah, lapor Jakarta Post.

Kerusi di Jakarta dan Jawa Tengah biasanya menjadi batu loncatan ke arah jawatan presiden Indonesia.

"Kita harus menunggu keputusan yang akan dibuat oleh parti. Kita harus melihat permintaan umum. Jika kita mempunyai cita-cita tetapi tidak disenangi rakyat, maka sia-sia sahaja," kata Encik Gibran. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg