Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kegagalan teknologi goncang keutuhan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia

Mar 11, 2024 | 05:31 AM



JAKARTA: Beberapa aduan mengenai pelanggaran data dalam daftar pemilih 2024 dan ketidaktepatan dalam platform penjadualan baharu telah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) yang dikatakan sudah bermasalah dan keupayaannya untuk menentukan keputusan pilihan raya 2024 dengan pasti.


Sejurus selepas bermulanya proses pengiraan jumlah undi pada 28 Februari, Pengerusi KPU, Encik Hasyim Asy’ari, menangguhkan prosiding selama beberapa jam kerana kesemua tujuh pesuruhjaya badan pilihan raya itu diwajibkan menghadiri perbicaraan etika yang dijalankan oleh Majlis Etika Organisasi Pilihan Raya (DKPP) berhubung siasatan ke atas dakwaan kebocoran data daftar pengundi.

Dakwaan itu muncul pada November 2023 selepas akaun dalam talian bernama ‘Jimbo’ menyiarkan di wadah penggodam dalam talian ‘BreachForums’ bahawa mereka ingin menjual 204.8 juta data unik senarai pengundi Indonesia, lapor The Jakarta Post.


Untuk membuktikan kesahihan data, akaun tersebut berkongsi 500,000 titik data, yang terdiri daripada nama penuh pengundi, jantina, tempat dan tarikh lahir serta nombor kad pengenalan dan kad keluarga.

Seorang yang dikenali sebagai, Rico Nufiansyah Ali, memfailkan aduan kepada DKPP berhubung dakwaan pelanggaran itu, menuntut kesemua tujuh pesuruhjaya KPU dipecat kerana tindakan yang dikatakannya sebagai tingkah laku tidak bertanggungjawab dan tidak profesional yang membawa kepada kebocoran data.

Semasa perbicaraan, pesuruhjaya KPU menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka sebagai “tidak berasas” dan menegaskan suruhanjaya itu telah mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi data daftar pemilih “secara profesional dan bertanggungjawab”.

KPU juga menegaskan bahawa ia bekerjasama rapat dengan penguatkuasa undang-undang, termasuk Agensi Siber dan Penyulitan Negara (BSSN) dan unit jenayah siber Polis Negara, untuk menyiasat dakwaan pelanggaran itu.

“Ada sebab yang mencukupi untuk panel DKPP menolak semua hujah pengadu dan memulihkan nama baik (KPU),” kata Pesuruhjaya KPU, Cik Betty Epsilon Idroos.

Perbicaraan itu telah ditangguhkan dengan majlis menjangkakan untuk mendengar lebih banyak keterangan daripada pakar dan pihak berkaitan lain pada masa akan datang.

Kesilapan Teknikal

Kebocoran data bukanlah satu-satunya kontroversi pilihan raya yang dihadapi oleh KPU.

Badan pilihan raya itu berdepan kritikan berhubung percanggahan nyata dalam Sistem Maklumat Penjadualan (Sirekap), platform pengiraan undi digital baharu KPU.

Aplikasi itu ditawarkan sebagai cara orang ramai memantau proses penjadualan dengan membandingkan kiraan manual di pusat mengundi dengan yang direkodkan di platform digital.

Pentadbir pengundian di pusat mengundi mengambil gambar borang pengiraan undi C1 manual dan memuat naiknya ke Sirekap, yang kemudian menukar angka itu kepada data digital menggunakan pengecaman aksara.

Keputusan rasmi pilihan raya, bagaimanapun, masih akan ditentukan oleh pengiraan undi berperingkat manual, yang dijangka selesai pada 20 Mac.

Sirekap telah menerima aduan daripada pengguna media sosial dan parti politik kerana kegagalannya yang jelas membaca pengiraan undi daripada borang rasmi yang diambil gambar.

Kem calon presiden Encik Anies Baswedan dan Encik Ganjar Pranowo turut mendakwa telah menjumpai angka undi yang melambung untuk saingan mereka, Encik Prabowo Subianto.

Terlalu ringan?

Beberapa pemerhati pilihan raya berkata isu itu menunjukkan KPU tidak profesional dan boleh menjejas kepercayaan terhadap keputusan pilihan raya.

“KPU kelihatan tidak serius dalam mengendalikan teknologi yang digunakan dalam pilihan raya dan terus memandang ringan masalah yang timbul.

“Ini jelas menunjukkan kekurangan iltizam untuk bekerja secara profesional dan beretika,” kata Encik Ihsan Maulana, penyelidik di badan pemantau pilihan raya Perludem, dalam laporan The Jakarta Post.


Pengerusi KPU, Encik Hasyim, dan pesuruhjaya lain telah didapati melanggar kod etika suruhanjaya itu beberapa kali menjelang Pilihan Raya Umum 2024.

Dalam satu keputusan, DKPP mendapati semua pesuruhjaya KPU bersalah atas pelanggaran etika kerana membenarkan Encik Gibran Rakabuming Raka iaitu anak sulung Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, mendaftarkan pencalonannya sebagai timbalan presiden sebelum suruhanjaya itu menyelaraskan syarat pencalonannya melalui peraturan dalaman.

Encik Gibran mengumumkan beliau akan menjadi pasangan calon Encik Prabowo selepas Mahkamah Perlembagaan, yang diketuai pada masa itu oleh abang ipar Encik Jokowi, Encik Anwar Usman, membuat perubahan saat akhir kepada umur calon yang membolehkannya bertanding.

Jika kelemahan itu berterusan, Encik Ihsan berkata, ia boleh menimbulkan masalah untuk pilihan raya akan datang, menjadi contoh buruk kepada pegawai masa depan dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap keputusan pilihan raya.

Aduan terhadap KPU yang sedang didengar oleh DKPP mungkin bukan yang terakhir, tambahnya.

Beliau mengkritik DKPP kerana memberi Encik Hasyim dan pesuruhjaya lain hanya “teguran keras” walaupun mendapati mereka bersalah atas pelanggaran etika dalam sekurang-kurangnya empat kes.

“DKPP perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan mengenakan sekatan lebih keras terhadap KPU untuk mewujudkan kesan pencegahan,” tambah Encik Ihsan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >