Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kegiatan Lebaran, termasuk mudik, rangsangan besar ekonomi Indonesia

Apr 15, 2024 | 05:30 AM



JAKARTA: Mudik, iaitu perjalanan pulang ke kampung halaman untuk beraya, adalah peristiwa tahunan rakyat Indonesia dengan penduduk berjumlah 270 juta orang.


Perjalanan beramai-ramai di negara majoriti penduduk beragama Islam itu menjadi salah satu pergerakan manusia terbesar di dunia.

Pengembara mengharungi kesesakan jalan raya beribu-ribu kilometer untuk pulang ke kampung bagi menyambut Lebaran.

Kegiatan rakyat berbondong-bondong pulang ke kampung halaman itu membawa manfaat kewangan dan ekonomi.

Menurut Kementerian Pengangkutan, hampir 200 juta orang terlibat dalam pergerakan mudik pada 2024, meningkat lebih 40 juta orang berbanding 2023.

Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia (Kadin) berkata perolehan kewangan semasa cuti Aidilfitri 2024 dijangka mencecah hampir AS$10 bilion ($13.53 bilion), merentas pelbagai sektor, termasuk runcit, kereta api dan pelancongan.

Di samping itu, Kadin menyatakan dalam menyambut Hari Raya, kebanyakan orang Islam Indonesia cenderung berbelanja besar.

Ramai daripada mereka berbelanja lebih daripada kebiasaan pada Ramadan dan Syawal.

“Fenomena ini sudah menjadi satu budaya. Keinginan berbelanja besar ini merentas golongan pelbagai tahap pendapatan,” ujar Kadin dalam kenyataannya.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Sandiaga Uno, menyasarkan kesan ekonomi semasa cuti Lebaran sahaja antara 100 trilion rupiah hingga 150 trilion rupiah ($85 juta).

Kesan ekonomi meningkat berikutan peningkatan pergerakan orang ramai semasa Hari Raya, ujarnya.

“Tahun lalu (2023), terdapat pergerakan 85 juta orang, dan kesan ekonominya ialah 72 trilion rupiah.

“Jadi, tahun ini (2024) boleh digandakan,” kata Encik Sandiaga dalam taklimat mingguan di Pejabat Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif pada 3 April.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa pelancongan semasa cuti Aidilfitri sahaja dapat membantu mencapai sasaran 1.4 bilion kunjungan pelancong domestik.

“Sekurang-kurangnya terdapat tambahnya, 300 juta hingga 350 juta kunjungan dapat direkodkan.

“Selain itu, pemerintah telah menetapkan cuti umum Aidilfitri selama tujuh hari. Ini mesti dimanfaatkan secara optimum,” tambahnya.

Timbalan ketua Bidang Kajian Strategik, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Cik Dessy Ruhati, mengunjurkan nilai perolehan ekonomi sebanyak 276.1 trilion ($23.4 juta) dalam sektor pelancongan semasa cuti Aidilfitri 2024.

“Potensi sektor pelancongan dan ekonomi kreatif itu sendiri boleh mencecah 276.1 trilion rupiah,” katanya.

Kegiatan ekonomi yang meningkat juga akan memberi kesan positif kepada sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan dan perhotelan

Ramai orang menggunakan kesempatan ini untuk berlibur bersama keluarga atau merayakan Aidilfitri di kampung halaman, sekali gus meningkatkan permintaan bagi penginapan dan khidmat pelancongan.

Sepanjang Ramadan, Indonesia menyaksikan peningkatan kegiatan masyarakat yang akan memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan adanya bantuan sosial yang disediakan oleh pemerintah, dijangkakan ekonomi akan mendapat sentuhan positif yang signifikan.

Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo mengumumkan sejumlah 14 bantuan sosial membabitkan peruntukan sekitar 5 trilion rupiah rakyat Indonesia.

Ia menjadi peruntukan terbesar dalam sejarah Indonesia yang membabitkan bantuan kewangan dan beras, sekali gus sangat dihargai kelompok rakyat miskin yang ketika ini terbeban dalam krisis ekonomi dunia.

Menurut Kadin lagi, Aidilfitri juga berupaya merangsang ekonomi khususnya untuk peniaga kecil.

Ia adalah masa peniaga kecil “membuat duit” apabila orang ramai membeli pakaian baru, menghias rumah mereka, menggunakan perkhidmatan hospitaliti dan menikmati makanan tradisional.

Menurut firma penyelidikan pasaran Indonesia, Compas, dalam Ramadan, jualan produk penjagaan kulit dan solekan meningkat 20 peratus berbanding tempoh praperayaan.

Jumlah nilai jualan barangan pengguna yang bergerak pantas, termasuk kosmetik, makanan berbungkus dan peralatan mandian.

Ia mencecah 57.6 trilion rupiah pada 2023, meningkat 1.03 peratus dari tahun sebelumnya.

Menurut Compas, umat Islam turut mengambil kesempatan itu dengan membantu peniaga Muslim, baik perusahaan kecil mahupun sederhana, dengan mengutamakan pembelian keperluan Raya daripada mereka.

Malah, Kadin menjangka peningkatan kegiatan ekonomi pada musim perayaan itu mampu memberi peluang kepada mereka untuk bertapak seterusnya dan berkembang dengan lebih baik selepas tamatnya musim perayaan.

Menurut analisis ekonomi, peningkatan perbelanjaan semasa Ramadan memberikan dorongan penting kepada sektor perdagangan, terutamanya dalam sektor makanan, pakaian, dan barang-barang keperluan rumah tangga.

Penjualan di pasaran tradisional dan pusat perbelanjaan dipercayai akan meningkat dengan pesat, memberikan manfaat kepada pedagang kecil dan besar.

Tempoh Ramadan dan mudik tidak hanya merupakan saat untuk meningkatkan ibadah, malah memberikan momentum penting bagi pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan adanya kerjasama antara masyarakat, pemerintah, dan sektor swasta ini, ekonomi Indonesia dapat terus berkembang secara positif dan mampan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >