Kelonggaran bagi industri kreatif bermula
KUALA LUMPUR: Semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu membabitkan beberapa aktiviti termasuk pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
"Ia turut membabitkan penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio. Selain itu, penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang lengkap vaksin; 'indoor busking' kepada individu yang lengkap vaksin serta persembahan di 'lounge' hotel kepada individu yang lengkap vaksin turut dibenarkan," katanya dalam kenyataan semalam.
Datuk Seri Ismail Sabri berkata aktiviti panggung wayang kepada individu yang lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam turut dibenarkan.
"Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) turut dibenarkan dengan penonton yang lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis. Selain itu, aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu) dibenarkan dengan pengunjung yang lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis," katanya.
"Kerajaan melalui PPN bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih satu juta penggiat, artis dan pekerja. Kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif," katanya. - Agensi berita.

