PUTRAJAYA: Keluarga penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH370 berkata satu laporan siasatan yang diberi kepada mereka hari ini (30 Julai) tidak mendedahkan hasil dapatan baru tentang sebab pesawat itu hilang.
Bagaimanapun, laporan itu menggariskan antara kesilapan serta protokol dan garis panduan yang tidak diikut.
Mereka memberitahu demikian kepada media selepas menghadiri satu taklimat berhubung laporan tersebut.
Menurut Cik Grace Nathan yang ibunya, Cik Anne Daisy, salah seorang penumpang penerbangan itu, beliau berharap kesilapan itu tidak akan diulangi dan langkah diambil bagi mengelaknya daripada berlaku pada masa akan datang.
Laporan itu dikeluarkan sekitar dua bulan selepas Malaysia menghentikan satu usaha pencarian bawah laut bagi pesawat tersebut.
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, menjadi antara misteri penerbangan terbesar di dunia.
Encik Calvin Shim yang isterinya bertugas sebagai pramugari dalam penerbangan itu berkata beliau tidak mengharapkan hasil dapatan baru daripada laporan tersebut kerana kotak hitam dan pesawat itu masih belum ditemui.
Namun, beliau berharap kerajaan dapat mencari bayangan baru dan mempertimbangkan untuk meneruskan usaha pencarian.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia hanya akan mempertimbangkan untuk meneruskan usaha mencari pesawat MH370 itu sekiranya mendapat bayangan baru. - AFP, REUTERS