WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam mendesak Arab Saudi supaya mengambil tindakan lanjut berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, selepas Washington berdepan kritikan hebat kerana tidak mengaitkan secara jelas Putera Mahkota Arab Saudi dalam kes itu.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, Jumaat lalu mengeluarkan laporan perisikan yang menunjukkan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman meluluskan operasi di Istanbul, Turkey, untuk menangkap dan membunuh Encik Khashoggi pada 2018.
Warga Arab Saudi itu, seorang pengkritik tegas Putera Mohammed, diminta pergi ke konsulat kerajaan itu di Istanbul pada Oktober 2018 bagi mendapatlan dokumen untuk perkahwinannya dengan seorang wanita Turkey.
Namun, Encik Khashoggi dibunuh di situ oleh sebuah pasukan Arab Saudi. Mayatnya dikerat-kerat dan tidak ditemui hingga sekarang.
Laporan yang dibuat ketika pentadbiran Donald Trump, yang juga sekutu Arab Saudi, mendapati tujuh daripada 15 anggota skuad terbabit dalam pembunuhan itu mempunyai kaitan dan mendapat arahan daripada Putera Mohammed.
"Kami sudah menggesa Arab Saudi membubar kumpulan ini dan melakukan perubahan dan kawalan institusi bagi memastikan kegiatan dan operasi antipembangkang dihentikan sepenuhnya.
"Kami sudah membuat kenyataan jelas dan akan terus mempertahankan bahawa pembunuhan wartawan itu, yang berlaku dalam tempoh 28 bulan lalu, adalah tindakan yang tidak boleh diterima," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ned Price, kepada wartawan.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Jen Psaki, ketika ditanya mengapa tiada tindakan diambil ke atas Putera Mohammed berhubung pembunuhan itu, berkata Amerika biasanya tidak menghukum pemimpin asing, walaupun ia pernah dilakukan terhadap pegawai kanan negara yang bermusuhan dengannya.
Namun, beliau memberi isyarat putera mahkota itu tidak akan terlepas sepenuhnya daripada tuduhan berkenaan.
Sementara itu, tunang Encik Khashoggi dan pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin meminta Washington menghukum Putera Mohammed.
"Adalah penting Putera Mahkota itu, yang mengarahkan pembunuhan kejam terhadap orang tidak bersalah, dihukum tanpa sebarang penangguhan," kata tunang Encik Khashoggi, Cik Hatice Cengiz, dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter rasminya.
"Ini bukan akan membawa keadilan yang kita cari buat Jamal sahaja, bahkan mencegah tindakan serupa berulang pada masa depan."
Beliau menambah bahawa menyusuli laporan Amerika itu, Putera Mohammed tidak lagi mempunyai kesahan politik.
Komen beliau dikongsi Cik Agnes Callamard, pelapor khas PBB mengenai isu hukuman mati dan pelaksanaan pembunuhan.
Cik Callamard berkta tiadanya tindakan Washington terhadap Putera Mohammed "amat membimbangkan" - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg