JAKARTA: Keluarga seorang pengawal peribadi yang terbunuh, yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri seorang jeneral polis, mendakwa bahawa kematiannya adalah satu pembunuhan yang dirancang.
Kecederaan di tubuh Encik Nopryansyah Yosua Hutabarat, 27 tahun, tidak konsisten dengan satu kenyataan polis sebelum ini bahawa beliau terbunuh dalam satu insiden tembak-menembak satu lawan satu dengan seorang lagi anggota polis.
Dalam pada itu, Inspektor Jeneral Ferdy Sambo, ketua divisyen hal ehwal dalaman polis negara yang berusia 49 tahun, digantung kerja sementara siasatan dijalankan, kata ketua polis negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, kelmarin berikutan tekanan daripada orang ramai bahawa jeneral dua bintang itu perlu disingkir daripada jawatannya.
Peguam mewakili keluarga Encik Nopryansyah menuntut agar bedah siasat kedua dijalankan, dengan alasan polis hanya mengakui kesan tembakan pada Encik Nopryansyah sedangkan gambar mayat beliau menunjukkan pelbagai lebam dan luka, menandakn beliau diserang dengan ganas oleh lebih dua orang.
"Bahu kanan, rahang terkehel; gigi tidak teratur; luka terhiris di pelbagai bahagian tubuh, termasuk di bibir, hidung, bawah mata, di belakang telinga, tangan dan kaki… lebam di perut dan dada," ujar Encik Kamarudin Simanjuntak, salah seorang peguam kepada wartawan selepas memfailkan laporan kepada polis kelmarin.
Ditanya mengenai dakwaan hubungan sulit itu Jumaat lalu, ketua polis Jakarta Selatan, Encik Budhi Herdi Susianto, memberitahu wartawan tiada bukti menunjukkan dakwaan itu, sambil menambah bahawa perkara tersebut "agak sensitif" dan butiran tidak dapat didedahkan kerana siasatan masih dijalankan.
Encik Nopryansyah, seorang penembak tepat polis, ditugaskan sebagai pengawal peribadi keluarga Jeneral Ferdy.
Pada 8 Julai, beliau memandu Jeneral Ferdy dan isterinya, Cik Putri Candrawati, dari Magelang, di wilayah Jawa Timur, ke kediaman rasmi jeneral itu di Jakarta.
Polis mengatakan bahawa Encik Nopryansyah masuk ke dalam bilik tidur di tingkat tempat Cik Putri, yang berusia 40-an tahun sedang berehat, pada tengah hari dan mengganggu beliau secara seksual.
Jeneral Ferdy tiada di rumah ketika itu.
Cik Putri dikatakan menjerit dan seorang lagi pengawal peribadi keluarga itu, yang hanya dikenali dengan nama awalnya E., bergegas turun ke bawah dan insiden tembak-menembak jarak dekat itu berlaku, dengan Encik Nopryansyah melepaskan tembakan pertama.
Polis mendedahkan kejadian itu hanya tiga hari kemudian, satu perkara yang disifatkan sebagai tidak teratur oleh Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Encik Mahfud MD.
Ini kerana polis Indonesia lazimnya mengumumkan insiden penting dalam masa sehari.
Encik Mahfud juga mempersoal mengapa polis tidak membenarkan keluarga melihat mayat itu lebih awal.
Encik Kamarudin juga berkata kronologi kejadian polis tidak teratur dan mempersoal mengapa pengawal yang lagi satu itu tidak mengalami kecederaan dalam insden tersebut.
"Ini memerlukan penjelasan. Seorang penembak tepat (Encik Nopryansyah) melepaskan tujuh das tembakan dan tiada satu pun mengena sasaran, manakala E melepaskan lima tembakan, empat daripadanya mengena sasaran dan akibatnya terdapat luka tujuh das tembakan pada Nopryansyah. Ini ajaib,'' kata Encik Kamarudin.
Seorang ahli kriminologi daripada Universiti Indonesia, Encik Muhammad Mustofa, memberitahu akhbar The Straits Times siasatan forensik dan balistik perlu dijalankan oleh pihak di luar pasukan polis untuk memastikan keberkecualian, dan mengetepikan keraguan yang semakin meningkat tentang kesahihan siasatan itu.
"Berdasarkan luka yang banyak itu - jika dakwaan luka itu sah - sesiapa yang melakukannya amat marah terhadap mangsa. Dia tidak setakat bermaksud untuk membunuh," kata Encik Mustofa. - ST