WASHINGTON: Tarikh baru kini dibincangkan bagi sidang puncak Washington bersama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara selepas pengerusi Asean, Kemboja, berkata ia akan menunda sidang itu kerana tidak semua pemimpin dapat hadir akhir bulan ini, menurut kenyataan Rumah Putih.

Bulan lalu, ia telah mengumumkan bahawa Presiden Amerika Joe Biden akan menjadi tuan rumah bagi sidang puncak bersama Asean pada 28 dan 29 Mac.

Ditanya mengenai pengumuman Menteri Luar Kemboja berkaitan penundaan itu awal bulan ini, jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih berkata Presiden Biden telah mengalu-alukan kehadiran pemimpin-pemimpin tersebut ke Washington.

"Untuk memastikan semua pemimpin Asean boleh turut serta, kami sedang bekerja rapat dengan rakan kongsi Asean untuk mengenal pasti tarikh sesuai bagi pertemuan itu," kata jurucakap itu.

Menteri Luar Kemboja, Encik Prak Sokhonn, berkata pertemuan itu ditunda kerana beberapa pemimpin Asean tidak dapat hadir pada tarikh yang disarankan itu.

Sidang puncak itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha AS mempertingkat perbincangan dengan rantau yang dilihat Washington sebagai kritikal dalam usahanya menentang kuasa China.

Ia dijangka diadakan awal tahun ini, namun ditunda disebabkan keprihatinan Covid-19.

Menurut Rumah Putih, sidang puncak itu merupakan satu keutamaan dan berkata ia akan meraikan ulang tahun ke- 45 hubungan AS -Asean.

Katanya ia akan menurut langkah kepimpinan Asean dengan mengundang wakil bukan politik dari Myanmar, yang dijajah tentera.

Blok tersebut telah menghalang junta Myanmar daripada pertemuan utama sejak tahun lalu kerana ia gagal menepati persetujuan untuk mengakhiri permusuhan di negara itu yang telah membunuh ratusan warga biasa dengan lebih 300,000 kehilangan tempat tinggal. - Agensi berita.