Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

AS: Kempen godam jejas rangkaian pemerintah, serangan masih berjalan

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih singkatkan lawatan ke Eropah untuk tangani insiden
Dec 18, 2020 | 05:30 AM



WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat kelmarin mengesahkan bahawa kempen penggodaman baru-baru ini menjejas rangkaiannya, dan berkata serangan itu "amat besar dan masih berjalan".



"Ini adalah satu keadaan yang sedang berkembang dan kami akan terus berusaha untuk mengetahui kesan penuh kempen ini, kami tahu kompromi ini telah menjejas rangkaian dalam lingkungan pemerintah persekutuan," ujar satu kenyataan bersama oleh Biro Siasatan Federal (FBI), Agensi Sekuriti Siber dan Keselamatan Prasarana (CISA) serta Pejabat Pengarah Risikan Nasional (ODNI).



"Sepanjang beberapa hari lalu, FBI, CISA dan ODNI lebih sedar tentang kesan besar kempen keselamatan siber yang sedang berjalan," tambah kenyataan itu.



Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik Robert O'Brien, menyingkatkan lawatannya ke Eropah dan pulang ke Amerika untuk menangani insiden penggodaman itu, yang mensasarkan beberapa agensi persekutuan.



"Duta Besar O'Brien kembali untuk menangani insiden penggodaman," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Encik John Ullyot, dalam satu kenyataan, sebagaimana dipetik Wall Street Journal kelmarin.



Laporan itu mengatakan Encik O'Brien akan mengadakan mesyuarat pada Selasa petang dan pagi Rabu diikuti pertemuan dengan pihak peringkat tinggi akhir minggu ini, lapor agensi berita Sputnik.



Ahad lalu, media Amerika melaporkan bahawa kumpulan penggodam yang didakwa disokong pemerintah asing mencuri data Jabatan Perbendaharaan dan Pentadbiran Telekomunikasi dan Maklumat.



Agensi pemerintah Amerika diserang sebagai sebahagian daripada kempen global yang diatur oleh penggodam yang dipercayai berkaitan dengan pemerintah Russia, menurut pegawai Amerika.



Penggodam dilaporkan memasang kerentanan berbahaya dalam sofwe SolarWinds Corp yang berpusat di Texas, yang pelanggannya merangkumi agensi pemerintah dan syarikat Fortune 500.



SolarWinds Corp mengatakan hingga 18,000 pelanggannya telah memuat turun kemas kini sofwe yang dikompromikan yang membolehkan penggodam mengintip perniagaan dan agensi selama hampir sembilan bulan.



Tidak jelas maklumat apa yang digodam oleh penggodam. Tiada sistem rahsia yang dipercayai telah dapat diakses, kata pegawai itu.



Jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih tidak mempunyai komen segera.



Akhbar The Washington Post melaporkan kumpulan penggodam APT29, yang juga dikenali sebagai 'the Dukes' atau 'Cozy Bear' dan dikatakan mempunyai kaitan dengan pemerintah Russia, dalang insiden itu, tanpa menunjukkan bukti dakwaan tersebut.



Kumpulan penggodam dilaporkan mendapat akses dengan menjejaskan perisian SolarWinds yang berpangkalan di Texas.



Syarikat itu dikatakan menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat jarak jauh di seluruh dunia, termasuk beberapa agensi pemerintah dan tentera Amerika.



Kedutaan Russia di Amerika menyatakan laporan media Amerika yang menuduh keterlibatan penggodam Russia dalam serangan siber itu tidak berasas.



Sementara itu, selain mesyuarat harian, satu kumpulan bertindak siber Amerika berasingan sedang menyiasat kesan penggodaman itu, yang melibatkan jabatan kewangan, perbendaharaan dan keselamatan dalam negeri.



Kumpulan ini bertemu selang sehari dan kerap berkomunikasi, kata seorang seorang pegawai.



Pegawai teknologi di beberapa agensi pemerintah kini menyediakan maklumat kepada penyiasat dan menyelaras respons, menurut pegawai itu.



Tidak jelas berapa lama usaha pembersihan dan siasatan akan berlangsung.



Rumah Putih telah memanggil pegawai untuk menilai penggodaman di bawah program era Obama, dikenali sebagai Pengarahan Dasar Presiden 41, yang menggariskan cara pemerintah persekutuan akan bertindak terhadap serangan siber.



Arahan pada 2016 itu direka untuk menangani kejadian yang memberi kesan besar ke atas entiti, keselamatan nasional atau ekonomi yang memerlukan kesepaduan tindakan pemerintah dan penyelarasan rapat antara sektor awam dan swasta. - Agensi berita.




"Ini adalah satu keadaan yang sedang berkembang dan kami akan terus berusaha untuk mengetahui kesan penuh kempen (penggodaman) ini, kami tahu kompromi ini telah menjejas rangkaian dalam lingkungan pemerintah persekutuan. Sepanjang beberapa hari lalu, FBI, CISA dan ODNI lebih sedar tentang kesan besar kempen keselamatan siber yang sedang berjalan ini."
- Kenyataan bersama Biro Siasatan Federal (FBI), Agensi Sekuriti Siber dan Keselamatan Prasarana (CISA) serta Pejabat Pengarah Risikan Nasional (ODNI).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >