JAKARTA: Presiden Indoesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, menegaskan beliau mempunyai hak untuk berpihak dalam pilihan raya dan mengambil bahagian dalam acara kempen, walaupun beliau mempunyai tanggungjawab sebagai ketua negara.
Encik Jokowi berkata pada 24 Januari bahawa memegang jawatan awam tidak menyekat beliau daripada menyokong calon tertentu atau mengambil bahagian dalam acara kempen.
Beliau membuat kenyataan itu semasa menghadiri sebuah acara bersama calon presiden, Encik Prabowo Subianto, yang telah memilih anak beliau, Encik Gibran Rakabuming Raka, sebagai pasangannya sebagai calon naib presiden dalam pilihan raya pada 14 Februari 2024.
“Seorang presiden dibenarkan menyokong calon dan berpihak, dengan syarat sumber negara tidak digunakan dalam proses itu,” kata Encik Jokowi kepada wartawan di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.
Kenyatan Encik Jokowi itu melahirkan kebimbangan pelbagai pihak, yang menekankan kepentingan mengekalkan kedudukan presiden tidak berpihak dan keadilan dalam proses pilihan raya untuk memastikan integriti dan kredibiliti pilihan raya demokratik di Indonesia.
Kenyataan ini mendatangkan kerisauan kerana pendahulunya, Encik Susilo Bambang Yudhoyono, mengelak daripada terlibat secara terbuka dalam kempen politik pada penghujung tempoh perkhidmatannya pada 2014.
Pengarah Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), Cik Khoirunnisa Agustyati, pada 25 Januari mendesak Encik Jokowi supaya menarik balik kenyataannya yang membenarkan presiden dan menteri menyokong mana-mana calon presiden dalam pilihan raya.
“Ini boleh menyebabkan pilihan raya yang tidak adil dan tidak demokratik,” kata Cik Khoirunnisa dalam satu kenyataan bertulis.
Perludem turut mendesak Badan Pengawas Pilihan Raya (Bawaslu) supaya bersikap tegas dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan dan menangani segala bentuk berat sebelah dalam kalangan pegawai pemerintah yang secara terbuka memberi manfaat kepada calon pilihan raya tertentu, terutamanya mereka yang menggunakan kemudahan negara.
Menurut Seksyen 283 (1) Undang-Undang Pilihan Raya, ujar Cik Khoirunnisa, pegawai negara dan penjawat awam dihalang menjalankan kegiatan yang menunjukkan sokongan kepada mana-mana calon pilihan raya sebelum, semasa, dan selepas tempoh kempen.
Bagaimanapun, undang-undang pilihan raya 2017 secara jelas membenarkan presiden yang masih memegang jawatan dan anggota kabinet mengambil bahagian dalam perhimpunan kempen, baik sebagai calon mahupun penyokong.
Perkara 299 undang-undang itu menetapkan bahawa presiden, naib presiden, anggota kabinet, dan pegawai negeri lain mempunyai hak menyertai perhimpunan kempen untuk pemilihan semula atau sebagai kempen berdaftar bagi calon lain, tertakluk pada kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).
Semasa aktiviti ini, mereka mesti mengambil cuti, terhad kepada satu hari seminggu semasa tempoh kempen. Penyertaan dalam perhimpunan pada cuti kebangsaan dan hujung minggu, tidak memerlukan cuti.
Perkara 304 pula melarang penggunaan kemudahan negara semasa perhimpunan kempen, termasuk kenderaan, bangunan, kediaman rasmi, dan peralatan komunikasi.
Penggunaan bajet negara dan sumber kewangan pemerintah yang lain dilarang sama sekali dalam perhimpunan politik.
Presiden dan naib presiden akan terus dilindungi oleh pasukan keselamatan presiden, semasa kempen, dan protokol keselamatan tetap akan dikenakan semasa kehadiran mereka.
Bagaimanapun, beberapa pemegang jawatan awam dihalang menyertai perhimpunan politik.
Ini termasuk hakim Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan, hakim di semua peringkat, juruaudit negara, gabenor dan timbalan bank pusat, dan pengarah, pesuruhjaya serta pekerja syarikat milik pemerintah dan perbandaran.
Larangan itu juga meliputi anggota tentera dan polis, ketua kampung, penjawat awam, dan rakyat di bawah umur mengundi.
Di sebalik kenyataannya, Presiden Jokowi tidak pernah mengambil bahagian dalam perhimpunan musim kempen ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg