TOKYO: Kerajaan Jepun menggesa warganya semalam supaya meluangkan masa "secara tenang dan senyap" pada akhir tahun ini setelah jangkitan Covid-19 di negara itu mencapai rekod baru hampir setiap hari.
Namun ia menjelaskan akan terus memberi subsidi untuk mempromosi kempen pelancongan tempatan walaupun terdapat laporan media yang menyatakan kerajaan mungkin menghentikan buat sementara kempen itu.
"Laporan itu tidak benar, kami akan terus melakukannya dengan cara tepat, selain berusaha mencegah penularan jangkitan (Covid-19)," kata jurucakap tertinggi kerajaan, Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato, semasa taklimat harian akhbar, lapor Reuters.
Jangkitan baru koronavirus di Jepun mencapai 2,848 kes kelmarin - paling banyak dalam tempoh sehari sejak wabak itu bermula.
Media melaporkan bahawa kerajaan Perdana Menteri Yoshihide Suga sedang menimbangkan semula menghentikan buat sementara waktu kempen "Go To Travel" bagi tempoh dua bulan pada akhir tahun dan Tahun Baru sedang pendapat umum telah beralih untuk menghentikan kempen itu.
Kerajaan Encik Suga sejauh ini mempertahankan subsidi yang dikatakan perlu untuk memastikan perniagaan hotel dan syarikat penerbangan terus aktif selain meningkatkan ekonomi yang terjejas oleh wabak yang membuat ramai orang tidak keluar rumah.
Pentadbirannya, yang minggu ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi AS$708 bilion ($940 bilion), mengatakan semalam bahawa ia juga akan menggunakan anggaran kecemasan 385.6 bilion yen ($4.9 bilion) untuk membiayai sebarang kekurangan dalam kempen pelancongan tempatan, yang dijalankan sehingga akhir Jun depan.
Satu laporan daripada penyelidik di Universiti Tokyo dan University of California, Los Angeles (UCLA) mendapati kejadian gejala Covid-19 lebih tinggi berlaku dalam kalangan mereka yang mengambil bahagian dalam kempen pelancongan tempatan berbanding dengan orang awam biasa.
Pakar mengatakan perayaan akhir tahun dan Tahun Baru bersama keluarga dan rakan akan meningkat risiko dijangkiti Covid-19.
"Penting bagi rakyat bekerjasama dengan meluangkan masa pada akhir tahun dan Tahun Baru secara lebih tenang dan senyap," kata Encik Kato.
Jepun tidak akan memulakan inokulasi secara besar-besaran terhadap virus itu sehingga tahun depan.
Ia telah memesan 290 juta dos vaksin daripada Pfizer, AstraZeneca dan Moderna dan merancang membeli 10,500 peti sejuk beku untuk menyimpannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg