JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak lama lagi akan menyediakan tempat meletak kenderaan yang mencukupi untuk penunggang motosikal yang meninggalkan kenderaan apabila mereka ke Singapura untuk bekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kerajaan negeri kini sedang berbincang dengan beberapa pemilik tanah berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar bagi tujuan itu.
“Saya telah meninjau kawasan-kawasan ini bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru hari ini (Ahad). Salah satu lokasi berpotensi yang kami temui ialah di Jalan Inderaputra, Stulang Darat.
"Terdapat juga beberapa ruang yang boleh diubah menjadi tempat letak kenderaan, tetapi kita perlu menangani perkara ini dari perspektif jangka pendek dan jangka panjang," katanya ketika dihubungi akhbar The Star.
Kerajaan kini sedang menyiapkan anggaran bilangan motosikal yang boleh diletakkan di kawasan tersebut, selain memastikan kemudahan akses dan keselamatan, tambah Datuk Mohd Jafni.
“Kami tahu kira-kira 300,000 rakyat Malaysia melintas sempadan setiap hari, tetapi kami tidak mempunyai anggaran kasar untuk jumlah penunggang motosikal, jadi proses itu telah bermula.
“Kami juga merancang untuk menggunakan bas ulang-alik untuk mengangkut penunggang dari tempat letak kenderaan ke CIQ (bergantung kepada jarak).
“Terdapat juga beberapa lokasi yang sebelum ini digunakan sebagai tempat letak kenderaan sebelum pandemik (Covid-19), tetapi belum dibuka semula sehingga kini,” kata Datuk Mohd Jafni sambil menambah projek itu dijangka akan dimulakan tidak lama lagi.
Buat masa ini, penunggang motosikal perlu membayar RM4 (S$1.20) sehari atau RM120 sebulan untuk meletak kenderaan di tempat meletak kenderaan privet. - THE STAR/ASIA NEWS NETWORK