Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M'sia, 3 yang lain diarah bayar ganti rugi RM5 juta kepada keluarga Altantuya

Dec 17, 2022 | 5:30 AM
TERIMA GANTI RUGI: Mahkamah Tinggi arah kerajaan dan tiga yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, atas kematiannya pada 2006. - Foto fail
TERIMA GANTI RUGI: Mahkamah Tinggi arah kerajaan dan tiga yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, atas kematiannya pada 2006. - Foto fail -

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia serta empat defendan lain membayar ganti rugi am dan teladan terhadap keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu sebanyak RM5 juta ($1.53 juta) dan RM75,000 kepada plaintif di sini semalam.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mengarahkan demikian selepas pihak plaintif berjaya membuktikan kes terhadap defendan tiga defendan dan defendan keempat (Kerajaan Malaysia) sebagai majikan kepada defendan pertama dan kedua.

Datuk Vazeer, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya, memutuskan demikian ketika prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom, berkata:

"Berdasarkan fakta dan undang-undang, kerajaan selaku defendan keempat merupakan majikan kepada defendan pertama dan kedua, bertanggungjawab terhadap tindakan mereka yang mencabuli undang-undang.

"Mereka telah menjalankan tugas sebagai pegawai polis, telah menggunakan sumber yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia dan penghakiman dibuat atas liabiliti terhadap keempat-empat defendan," katanya.

Menyentuh ganti rugi yang dimohon pihak plaintif sebanyak RM100 juta, beliau berkata jumlah itu adalah berlebihan dan tidak boleh ditakrifkan berdasarkan prinsip sahaja.

Menurutnya, RM5 juta adalah adil dan memadai untuk diberikan sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.

Hakim turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif.

Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Cik Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Encik Mungunshagai Bayarjargal dan Encik Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.

Keluarga itu mendakwa, kematian ahli keluarga pada 2006 itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Dalam pemfailan tersebut, mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; peguam dan penganalisis politik, Encik Abdul Razak Baginda, dan kerajaan sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Encik Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif berikutan meninggal dunia pada 2017.

Seramai 26 saksi plaintif, termasuk bapa serta anak sulung mendiang Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 2019.

Defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Encik Abdul Razak memilih tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg