Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M'sia serius tangani pencerobohan nelayan asing

Feb 16, 2023 | 5:30 AM
CEROBOH: Lebih 5,000 nelayan dan 500 bot asing ditahan dalam usaha kerajaan Malaysia mengekang pencerobohan nelayan asing. - Foto BHM
CEROBOH: Lebih 5,000 nelayan dan 500 bot asing ditahan dalam usaha kerajaan Malaysia mengekang pencerobohan nelayan asing. - Foto BHM -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing di perairan negaranya dan sedang bertindak menangani jenayah itu yang membawa kesan rantaian serta berisiko mengundang jenayah serius lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan amat menyedari ancaman pencerobohan nelayan asing, yang turut menyebabkan negara terdedah jenayah penyeludupan dadah, barangan, pemerdagangan manusia, lanun dan kerosakan alam sekitar.

Beliau memberi jaminan kerajaan sedang melaksanakan tindakan bagi mengatasi semua isu dan ancaman berkenaan, antaranya menerusi penguatkuasaan berterusan, penambahbaikan aset serta perbincangan antara kerajaan (G2G) dengan negara jiran.

"Saya baru balik dari Bangkok, Thailand, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, dan isu ini turut disentuh.

"Ini kerana pencerobohan nelayan asing dalam wilayah kita akan mengundang ketegangan hubungan diplomatik kalau tidak kena cara, jadi kami bincang langkah yang perlu dibuat.

"Kerajaan sangat sedar jika tak dikawal isu pencerobohan nelayan asing, kita akan terdedah pada aktiviti jenayah lain seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan barangan, lanun dan kerosakan alam sekitar akibat 'over fishing' (tangkapan hasil laut berlebihan).

"Itu semua dalam radar tindakan kerajaan," katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen pada Rabu, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan bertindak di luar kebiasaan bagi mengatasi isu pencerobohan nelayan asing, yang membawa ancaman pelbagai jenayah serius lain.

Berhubung soalan asal Datuk Ahmad Marzuk mengenai tindakan terhadap pencerobohan nelayan Vietnam, Datuk Saifuddin memaklumkan bahawa pihak berkuasa melaksanakan pelbagai operasi ke atas lebih 5,000 nelayan dan 500 bot asing ditahan.

Antaranya melalui Operasi Naga yang dilaksanakan secara bersepadu membabitkan Kementerian Pertahanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Seluruh agensi kawal selia ini melakukan operasi dan hasilnya 48,000 pemeriksaan dilakukan, 280 bot nelayan Vietnam ditangkap dan 3,240 kru nelayan ditahan.

"Selain itu, Ops Kuda Laut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membanteras pencerobohan bot nelayan asing dan setakat Disember 2022, 223 bot nelayan asing ditahan dan 2,264 kru ditangkap," katanya.

Mengenai soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan kesiapsiagaan aset, Datuk Saifuddin memaklumkan bahawa Maritim Malaysia mempunyai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk meningkatkan keupayaan aset.

"Buat masa sekarang, Maritim Malaysia ada aset laut dan udara. Permohonan radar ada dibuat ketika Rolling Plan Kedua dan Ketiga, tetapi setakat ini belum berjaya. Tapi kami akan terus pohon.

"Namun, dengan keupayaan aset semasa pun Maritim Malaysia menunjukkan keupayaan sangat cemerlang apabila merekodkan 300,000 pemeriksaan kapal keseluruhan secara fizikal sepanjang 2022, bukan nelayan saja," katanya.

"Kerajaan sangat sedar jika tak dikawal isu pencerobohan nelayan asing, kita akan terdedah pada aktiviti jenayah lain seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan barangan, lanun dan kerosakan alam sekitar akibat 'over fishing' (tangkapan hasil laut berlebihan). Itu semua dalam radar tindakan kerajaan." - Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg