Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M'sia setuju benar pencarum KWSP keluar RM10,000

Mar 17, 2022 | 5:30 AM
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB: Beliau berkata kerajaan Malaysia mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. - Foto FACEBOOK ISMAIL SABRI YAAKOB
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB: Beliau berkata kerajaan Malaysia mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. - Foto FACEBOOK ISMAIL SABRI YAAKOB -

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia semalam bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 ($3,244).

Dalam satu sidang media khas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

"Justeru, hari ini (semalam) kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen.

Datuk Ismail Sabri berkata penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP berkenaan akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

Beliau menegaskan bahawa keputusan memberi kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan yang sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Kerajaan sebelum ini telah membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu dua tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP, namun beliau merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

"Saya berharap pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan," katanya.

Pada 15 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih ramai anggota KWSP akan bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan.

Malah katanya, hampir separuh daripada anggota KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 55 peratus daripadanya terdiri daripada Bumiputera.

Butiran mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan KWSP sehingga RM10,000 itu akan diperincikan dalam masa terdekat, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan," katanya dalam satu kenyataan semalam. - BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg