Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerala lancar kempen biasakan warga bicara tentang haid
Kerala lancar kempen biasakan warga bicara tentang haid
Guna simulator beri peluang lelaki rasai sakit ketika datang haid
Kerala lancar kempen biasakan warga bicara tentang haid
HAID - dan ketidakselesaan yang dialami semasa ia datang - masih menjadi topik pantang larang di banyak bahagian di India.
Tetapi satu kempen yang dilancarkan di wilayah selatan, Kerala, bertujuan merubah kepercayaan itu.
Penganjur daya usaha itu, mempamerkan simulator haid di pusat beli-belah dan maktab-maktab di daerah Ernakulam, untuk memberi peluang kepada kaum lelaki cuba mengalami keadaan kejang, dalam usaha membiasakan mereka bercakap mengenainya.
Rakaman video yang dibuat semasa kempen itu menunjukkan beberapa lelaki berteriak kerana kesakitan, sedang kaum wanita melihat mereka, hairan.
"Itu benar-benar sakit. Saya tidak akan mahu mengalaminya lagi," kata Encik Sharan Nair, seorang influencer media sosial yang mencuba simulator itu di sebuah pusat membeli-belah.
Simulator itu adalah sebahagian daripada projek yang diberi nama Cup of Life, yang turut mengedarkan cawan haid dan mitos buah dara semasa tempoh datang haid.
Ia telah dilancarkan oleh seorang anggota penggubal dasar tempatan, Encik Hibi Eden, daripada parti Kongres, bersama-sama Persatuan Perubatan India (IMA), yang mewakili para doktor.
Kesihatan wanita, terutama isu berkaitan haid, adalah topik yang kurang dibahaskan di India.
Di kebanyakan kawasan, wanita masih dianggap tidak suci semasa mereka datang haid, dan dijauhi daripada sebarang acara sosial dan keagamaan, malah dari sekitar dapur juga.
Walaupun sikap itu sudah agak berubah sedikit di kawasan bandar, kebanyakan wanita masih berasa tidak selesa bercakap tentang masa haid atau keadaan kejang yang sering mereka alami, kepada majikan atau anggota keluarga lelaki.
Sementara beberapa syarikat di dunia dan di India juga, mula memberi cuti kepada wanita yang sedang haid, topik mengenai haid ini masih juga sesuatu yang mengejutkan.
Tetapi penganjur kempen itu tetap menaruh harapan, ia akan membawa perubahan di Kerala, memandangkan wilayah tersebut adalah antara yang paling progresif.
Peguam Sandra Sunny, yang menyediakan acara "rasakan sakitnya" itu berkata simulator tersebut adalah "yang paling mudah" untuk menggalak perbahasan yang bermakna dan merubah sikap mengenainya.
"Jika anda tanyakan kepada penuntut lelaki di kolej secara berterus terang apa yang mereka tahu tentang kejang semasa datang haid, mereka enggan bercakap mengenainya.
"Tetapi jika anda bertanya mereka soalan seperti "adakah mereka bercakap tentang haid kepada sesiapa, - sesuatu yang mereka enggan bercakap sebelumnya - tapi selepas menggunakan simulator itu, mereka lebih bersedia memperkatakannya," kata Cik Sandra.
Simulator itu mempunyai dua wayar yang dilekatkan pada dua orang pada masa yang sama, dan mempunyai dial yang boleh diputarkan untuk menentukan ukuran paras kesakitan, daripada serendah satu hingga 10 paling tinggi.
Encik Nair pula, teringatkan seorang gadis yang mencubanya "tidak berasa apa-apa" sementara yang lelaki, termasuk beliau sendiri, berteriak kesakitan.
Pihak penganjur berkata simulator itu mencetuskan suasana perbualan secara berterus terang di maktab-maktab di daerah Ernakulam.
Cik Sandra berkata simulator itu membantu kaum lelaki memahami tentang bagaimana kesakitan yang dialami oleh kaum wanita selama bertahun-tahun apabila datang haid.
"Bagi yang mengalaminya daripada mesen tersebut, mereka boleh menghentikannya. Tetapi buat kaum wanita, mereka terus bertahan dan mengalaminya," jelasnya.
Ini bukan kali pertama simulator serupa itu digunakan untuk membuat kaum lelaki berteriak kesakitan seperti semasa wanita datang haid.
Tahun lalu, dua pertubuhan amal menggunakan simulator tersebut semasa suatu acara di utara India.
Sejak itu, simulator tersebut digunakan dalam acara bengkel perbincangan untuk meningkat kesedaran orang ramai, terutama kaum lelaki mengenai haid. - Agensi berita.
