RIYADH: Lelaki warga Arab Saudi yang diberkas setelah merempuh kereta yang dipandunya ke salah satu pintu Masjidil Haram di Makkah pada Jumaat (30 Okt) dikatakan berada "dalam keadaan tidak normal". Para penyiasat berkata pesalah itu telah dirujuk kepada pejabat Pendakwa Raya, menurut agensi berita negara Saudi Press Agency (SPA). Satu rakaman video menunjukkan kereta itu dipandu laju merentas bahagian selatan dataran Masjidil Haram, sebelum merempuh salah satu pintu, dalam kejadian yang berlaku pada 10.25 malam itu. Laman Twitter Haramain Sharifain berkata kereta Hyundai berwarna kuning air itu merempuh Pintu 89 di Peluasan Raja Fahad. Pemandunya dikatakan memakai pakaian ihram. Kereta itu dilaporkan tersasar ketika dipandu laju di jalan raya yang mengelilingi bahagian selatan dataran Masjidil Haram, menurut laman Haramain Sharifain, menukil Amir Makkah. Tiada orang cedera dalam kejadian itu dan ibadah di Masjidil Haram diteruskan seperti biasa tanpa sebarang penutupan, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg