Topic followed successfully
Go to BHkuKerosakan masjid dan surau di Johor akibat banjir capai $0.57j
Kerosakan masjid dan surau di Johor akibat banjir capai $0.57j
Kerosakan masjid dan surau di Johor akibat banjir capai $0.57j
ISKANDAR PUTERI: Nilai kerosakan masjid dan surau di Johor yang terjejas serta ditenggelami banjir sejak 28 Februari lalu, dianggarkan bernilai RM1.9 juta ($0.57 juta) setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang memperincikan nilai kerosakan sebenar ke atas semua masjid dan surau di negeri itu.
Katanya, ia berikutan banjir masih belum pulih sepenuhnya, terutamanya di Batu Pahat dan Muar.
"Kerosakan paling besar akibat bencana banjir membabitkan permaidani masjid dan surau yang ditenggelami banjir menyebabkan ia rosak sepenuhnya dan perlu dilupuskan.
"Kosnya amat besar dan ia perlu dibaik pulih segera bagi memastikan ia tidak merosakkan struktur masjid atau surau, selain untuk keselesaan jemaah.
"Selain itu, terdapat juga kerosakan mimbar, alat siar raya dan perabot yang musnah. Ada juga masjid dan surau mengalami kerosakan tandas dan kemudahan ruang solat.
"Oleh itu, JAINJ akan menyalurkan bantuan sekali beri RM20,000 bagi membaik pulih kerosakan yang dialami masjid dan surau terjejas, namun jika ia membabitkan kerosakan besar, kita akan mohon daripada Kerajaan Pusat untuk bantuan peruntukan," katanya.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor kekal tidak berubah dengan 2,540 orang masih terjejas setakat 8 pagi pada Rabu.
Batu Pahat merupakan satu-satunya daerah yang dilanda banjir dengan 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di situ menempatkan mangsa daripada 701 keluarga.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air tiga lembangan sungai di Batu Pahat masih berada pada tahap amaran.
"Ia membabitkan Empangan Bekok yang juga sublembangan Sungai Bekok dengan bacaan 19.20 meter (m), Empangan Sembrong (Sungai Sembrong) 12m dan Sungai Senggarang di Senggarang 3.50m," katanya. - BHM, The Star.

