Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes 1MDB: Pendakwa AS gesa bekas pegawai Goldman Sachs dijel 15 tahun

Mar 5, 2023 | 5:30 AM
HADAPI HUKUMAN PENJARA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa (atas), berdepan 15 tahun penjara. - Foto REUTERS
HADAPI HUKUMAN PENJARA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa (atas), berdepan 15 tahun penjara. - Foto REUTERS -

NEW YORK: Pendakwa raya Amerika Syarikat pada Jumaat menggesa hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, selepas dia disabitkan bersalah membantu merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn pada April lalu mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya, Tim Leissner, menggelapkan wang daripada dana itu, mencuci wang dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

Leissner pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara.

Hakim Daerah AS, Cik Margo Brodie, dijangka menjatuhkan hukuman kepada Ng pada 9 Mac.

Dalam rayuannya pada 25 Februari, Ng telah meminta agar dia tidak dikenakan hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

Dia telah menghabiskan enam bulan di penjara Malaysia sebelum mengetepikan haknya untuk mencabar ekstradisi ke Amerika pada 2018.

Ng dibebaskan dengan ikat jamin tetapi tertakluk kepada perintah berkurung sejak disabitkan kesalahannya.

Tuduhan itu berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion ($8.74 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB, yang diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia, yang dijual pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata AS$4.5 bilion daripada jumlah itu digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Ng mengaku tidak bersalah, dan berhujah bahawa bayaran sogokan AS$35 juta yang dituduh diterimanya sebenarnya adalah pulangan atas pelaburan yang dibuat isterinya.

Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama.

Dia masih belum dijatuhkan hukuman. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg