HONG KONG: Bekas anggota keluarga pragawati Hong Kong yang dibunuh kejam, Cik Abby Choi Tin-fung telah dituduh membunuh dan menghalang proses keadilan.

Bekas abang ipar Cik Choi dan bekas bapa mentuanya, yang masing-masing berusia 31 dan 65 tahun, telah dituduh bersama atas satu kesalahan membunuh pada Ahad, sementara bekas ibu mentua Cik Choi, telah didakwa atas satu kesalahan menghalang proses keadilan.

Mereka diberkas pada Jumaat. Kes mereka akan dibaca di Mahkamah Majistret Kowloon City pagi Isnin.

Pembunuhan ke atas Cik Choi, dipercayai telah dirancang oleh bekas bapa mentuanya, dengan rumah sewa di mana bahagian tubuhnya ditemui disyaki telah digunakan sebagai tempat mayatnya dikerat, kata polis pada Sabtu.

Bekas suaminya, yang melarikan diri, telah diberkas pada Sabtu juga, menurut laporan South China Morning Post (SCMP).

Awal daripada itu, polis telah memberkas ibu bapa dan abang bekas suami mendiang dan ketiga-tiga mereka akan menghadapi tuduhan membunuh.

Laporan media memetik satu sumber polis yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa bekas bapa mentua mendiang Choi, yang pernah menjadi seorang pegawai polis, tidak puas hati dengan cara bekas menantunya itu mengendalikan sebuah hartanah mewah.

Pada Jumaat, polis Hong Kong berkata pembunuhan itu telah dirancang dengan teliti selepas bahagian tubuh mangsa yang berusia 28 tahun itu ditemui di sebuah rumah di daerah Lung Mei Tsuen di Tai Po, sebuah kawasan di luar bandar.

Sebuah unit di lantai bawah rumah tiga tingkat itu telah dibangunkan sebagai sebuah tempat penyembelihan, kata polis.

"Kami masih mencari kepala (mangsa)," kata Superintenden Alan Chung kepada pemberita, selepas mengumumkan bahawa bahagian tubuh lain wanita itu ditemui dalam sebuah peti sejuk.

Menurut akhbar The Straits Times (ST), rumah itu turut mempunyai sebuah gergaji elektrik dan sebuah pengisar daging yang telah digunakan dalam kes pembunuhan itu, kata Superintenden Chung.

Dua periuk merebus "dipercayai mengandungi tisu manusia" juga ditinggalkan di tapak kejadian, tambahnya.

Tubuh badan Cik Choi dan tangannya belum ditemui lagi.

Para penyelam dari Unit Tugasan Khas, yang dikenali sebagai Flying Tigers, telah dikerah untuk menjalankan pencarian bahagian tubuh yang hilang di sebuah kawasan takungan air di perkuburan Tseung Kwan pada petang Sabtu.

Rumah kampung itu sebelum ini pernah disewakan dan tiada perabot, menandakan bahawa ia telah digunakan untuk membuang mayat mendiang Choi, kata Superintenden Chung.

Adalah dipercayai bahawa bekas bapa mentua, yang menyewa unit tersebut pada Februari, merupakan dalang di sebalik pembunuhan itu, menurut sumber polis.

Bekas suami mendiang Choi - dikenal pasti sebagai Alex Kwong oleh media setempat - telah diberkas di tepi laut Tung Chung sekitar 1 petang Sabtu, menurut laporan berita.

"Kemungkinan dia sedang nantikan sebuah bot laju untuk cuba melarikan diri," kata sumber yang dipetik SCMP.