JAKARTA: Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Encik Luhut Pandjaitan, berkata kes Covid-19 di negara itu dijangka berkurangan minggu depan, menyusuli pelaksanaan sekatan pergerakan ketat di pulau Bali dan Jawa.

Beliau juga berkata pemerintah telah mengambil sejumlah langkah untuk mengatasi kekurangan katil dan bekalan oksigen di hospital, serta meningkatkan vaksinasi di samping mengurangkan pergerakan orang ramai melalui langkah yang dipanggil Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat.

"Dengan vaksinasi, penguatkuasaan PPKM (Darurat), peningkatan bekalan ubat, oksigen dan katil hospital, kita akan melihat keadaan menjadi lebih baik," kata Encik Luhut dalam satu sidang media.

Beliau dilantik Presiden Joko Widodo untuk mengawasi pelaksanaan PPKM Darurat, yang mengenakan sekatan meluas di Jawa dan Bali dari 3 hingga 20 Julai.

Kenyataan Encik Luhut dibuat beberapa jam sebelum kementerian kesihatan Indonesia kelmarin melaporkan jumlah rekod tertinggi 40,427 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam, kenaikan terbesar sejak pandemik itu itu bermula tahun lalu.

Seramai 891 orang meninggal dunia akibat virus itu pada hari tersebut.

"Kami akan berusaha memastikan jumlah kes di bawah 30,000 (setiap hari). Kami berharap minggu depan, jika kita semua boleh berdisiplin, kes akan bertambah reda dan keadaan akan bertambah baik," katanya, merujuk kepada kes harian antara 9 hingga 11 Julai yang semakin menurun.

Indonesia melaporkan lebih 30,000 jangkitan baru Covid-19 setiap hari sejak 6 Julai, dengan jangkitan di negara itu hingga kini berjumlah lebih 2.5 juta.

Jumlah jangkitan dan kematian Covid-19 di Indonesia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kenaikan besar kes baru menyebabkan kekurangan katil hospital dan tangki oksigen, mengakibatkan ribuan orang tidak dapat menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

Sementara itu, Presiden Widodo mengucapkan takziah sambil memberi penghormatan kepada korban Covid-19 di negara itu.

"Bagi pihak diri saya dan pemerintah, serta negara, saya mengucapkan takziah kepada semua korban pandemik, yang telah mendahului kita," katanya Ahad lalu semasa satu upacara dalam talian bagi mendoakan mangsa.

Beliau juga mendoakan agar mereka yang dijangkiti virus itu cepat sembuh. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti