PETALING JAYA: Jangkitan Covid-19 di Malaysia kembali meningkat apabila mencatatkan kes harian tertinggi semalam dengan sebanyak 21,668 kes dilaporkan berbanding 20,889 pada 6 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih kekal berada di atas dengan 6,278 kes dan diikuti Kuala Lumpur 2,436 kes selain Kedah dan Sabah masing-masing 2,143 dan 2,052 kes.

Ini menjadikan keseluruhan 1,342,215 kes jangkitan Covid-19 direkodkan sejauh ini, dengan kira-kira 11,400 kematian.

Kerajaan Malaysia terus menggiatkan usaha program inokulasi dengan seramai 40.7 peratus atau 9,516,141 daripada keseluruhan populasi dewasa di negara itu direkodkan sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, kelmarin.

Selain itu, seramai 16,347,422 yang mewakili 69.8 peratus populasi dewasa di negara ini direkodkan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian berkenaan.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menjelaskan, kejayaan itu dicapai menerusi pemberian sebanyak 497,352 dos vaksin Covid-19, kelmarin.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara meningkat kepada 25,863,563 dos, membabitkan sebanyak 227,506 dos pertama, manakala 269,846 ialah dos kedua pelalian itu.

Selain itu, sebanyak 20,014,549 dos vaksin, masing-masing 16,347,442 dos pertama dan 9,516,141 dos kedua sudah diberikan, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan mulai 23 Februari lalu.

Jumlah pemberian dos kedua pelalian itu di seluruh negara setakat semalam mewakili 29.1 peratus daripada populasi di Malaysia dan mencecah 50.1 peratus daripada keseluruhan individu dewasa di negara ini.

Dalam pada itu, sebanyak 3,396 kes Covid-19 yang dikesan sejak Mac 2020 hingga Jun lalu, membabitkan ibu hamil.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes membabitkan golongan itu dikesan meningkat bermula Oktober tahun lalu dengan purata 200 kes jangkitan sebulan.

Katanya, dianggarkan satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19. - Utusan, BHM.