Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Covid-19 Korea S melonjak, varian Delta merebak

Naik lebih 800, yang tertinggi sejak 7 Januari lalu ekoran jangkitan kluster baru
Jul 3, 2021 | 5:30 AM
PENJAGAAN KESIHATAN: Seorang petugas kesihatan (kiri) memeriksa seorang warga yang hadir bagi ujian pemeriksaan Covid-19 di sebuah klinik sementara di Seoul, Korea Selatan, pada 28 Jun lalu. Pihak berkuasa negara itu menyatakan kes jangkitan harian ini yang melonjak sekarang melibatkan varian Delta koronavirus. - Foto EPA-EFE
PENJAGAAN KESIHATAN: Seorang petugas kesihatan (kiri) memeriksa seorang warga yang hadir bagi ujian pemeriksaan Covid-19 di sebuah klinik sementara di Seoul, Korea Selatan, pada 28 Jun lalu. Pihak berkuasa negara itu menyatakan kes jangkitan harian ini yang melonjak sekarang melibatkan varian Delta koronavirus. - Foto EPA-EFE -

SEOUL: Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di Korea Selatan meningkat kepada lebih 800 kelmarin, yang tertinggi sejak 7 Januari lalu.

Angka itu disebabkan oleh jangkitan kluster baru dan penularan varian Delta yang cepat tersebar.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), 826 kes dilaporkan pada Khamis, meningkat daripada 762 kes pada hari sebelumnya.

Kerajaan melonggarkan langkah-langkah penjarakan fizikal bermula bulan ini, susulan negara itu merekodkan jumlah kes harian sekitar 500 beberapa bulan terakhir ini dan proses vaksinasi yang dipercepat.

Namun, hanya beberapa hari sebelum kelonggaran sekatan berkuat kuasa, jumlah kes meningkat kepada 600 dan kemudiannya 800 minggu ini, terutama disebabkan kluster baru di Seoul dan wilayah sekitarnya.

Ia menyebabkan pihak berkuasa membuat keputusan menangguhkan langkah-langkah melonggarkan sekatan selama seminggu, iaitu kepada 7 Julai.

Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Encik Jeon Hae-cheol berkata, lebih 80 peratus daripada kes baru direkodkan di Seoul selama tiga hari berturut-turut, disebabkan jangkitan kluster restoran dan institusi pendidikan swasta.

"Kami sangat bimbang virus itu akan tersebar lebih jauh kerana terdapat tanda-tanda peningkatan aktiviti luar dalam kalangan orang ramai dan peningkatan jumlah kes varian Delta yang sangat mudah menular," katanya.

Pihak berkuasa telah menggesa orang ramai agar memakai pelitup semasa di dalam bangunan dan mengelak daripada ke luar rumah jika tidak perlu sedang program inokulasi sedang dijalankan.

Pihak berkuasa juga bimbang akan satu penularan baru yang dikesan di sebuah akademi Bahasa Inggeris di luar ibu kota, dengan sekurang-kurangnya 242 kes termasuk varian Delta yang telah disahkan.

"Kami prihatin penularan ini boleh melonjak lebih buruk lagi jika penjarakan sosial dilonggarkan, kerana ia akan mengakibatkan lebih ramai orang tidak mengendahkan jarak selamat semasa sesi minum atau berada di tempat-tempat awam," kata Pengarah KDCA, Dr Jeong Eun-kyeong, dalam satu sesi taklimat kelmarin.

Varian Delta mula dikesan di India dan ia telah menyebabkan lonjakan kes jangkitan koronavirus di seluruh dunia, menjadi varian paling mudah menjangkit di Amerika Syarikat dan mendorong Britain untuk menangguhkan pembukaan semula sempadannya untuk sebulan lagi.

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan pada 29 Jun lalu menegaskan, pelancong yang tiba dari India, Indonesia, Pakistan, Filipina dan 17 negara lain tetap perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari walaupun sudah lengkap divaksin Covid-19, berikutan kebimbangan penularan varian Delta.

Malah, Seoul sebelum ini mengumumkan rancangan membenarkan pelawat luar negara yang sudah lengkap divaksin memasuki Korea Selatan tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, mulai bulan depan.

Namun, kemasukan itu hanya dibenarkan untuk urusan perniagaan, pendidikan dan kemanusiaan.

Bagaimanapun, selepas penelitian terbaru dilakukan, Korea Selatan memutuskan ketibaan dari 21 negara, termasuk Afrika Selatan dan Bangladesh, perlu menjalani kuarantin, menurut Yonhap memetik Ibu Pejabat Pusat Keselamatan dan Pengurusan Bencana.

Sejak Mei, rakyat Korea Selatan yang sudah divaksin dan tiba dari luar negara dikecualikan daripada kuarantin wajib 14 hari.

Namun, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan tidak perlu dikuarantin jika tiada gejala. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg