JAKARTA: Pasangan Indonesia yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas ISIS dan cuba membunuh seorang menteri keselamatan negara itu telah dikenakan hukuman penjara pada Khamis (25 Jun).
Mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman 12 tahun kepada Syahrial Alamsyah, 51 tahun, dan sembilan tahun kepada isterinya, Fitria Diana, 21 tahun, setelah mensabitkan mereka atas tuduhan pengganasan kerana cuba membunuh mantan Menteri Keselamatan Wiranto pada Oktober tahun lalu.
Tempoh hukuman tersebut kurang daripada yang dituntut pihak pendakwa yang meminta hukuman 16 tahun dan 12 tahun.
Tetapi mahkamah menolak pembelaan pasangan itu bahawa mereka hanya didorong oleh sentimen anti-pemerintah, dengan memutuskan bahawa Alamsyah tergolong dalam kumpulan pelampau tempatan yang bersekutu dengan ISIS.
"Kami memutuskan bahawa terdakwa bersalah melakukan pengganasan bersama dengan isterinya," kata Ketua Hakim Masrizal kepada Mahkamah Daerah Jakarta Barat.
Tertuduh ketiga juga dijatuhi hukuman lima tahun atas tuduhan pengganasan yang dikaitkan dengan serangan berasingan yang dirancang dengan Alamsyah tahun lalu. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg