Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Omicron tinggi, jumlah masuk hospital dan jangkitan tidak membimbang: Saintis

Jan 5, 2022 | 5:30 AM
ebff8e00-2a03-4727-93c8-10237a1ef402
-

NEW YORK: Beberapa hasil kajian memberi harapan baru menyentuh tahap jangkitan varian Omicron: Meskipun jumlah kes melonjak, kes dimasukkan ke hospital dan jangkitan yang teruk tidak sedemikian halnya.

Perangkaan sejauh ini, menurut beberapa saintis, memberi isyarat, babak yang tidak begitu membimbangkan bagi pandemik ini, menurut akhbar The Straits Times semalam yang memetik laporan Bloomberg.

"Kita sekarang berada di fasa yang benar-benar berbeza," kata Profesor Monica Gandhi, pakar imunologi di Universiti California, San Francisco (UCSF).

"Virus ini akan kekal bersama kita, tetapi harapan saya ialah varian ini menyebabkan kelalian lebih baik sehingga ia meredakan pandemik ini," ujarnya.

Varian Omicron ditemui di Afrika Selatan lebih sebulan lalu, dan pakar memberi gambaran bahawa masih banyak masa untuk keadaan berubah.

Bagaimanapun, data sejak beberapa minggu lalu membayangkan kelalian semakin meluas dan pelbagai mutasi telah menyebabkan virus tidak lagi memberi kesan seteruk varian pendahulunya.

Satu kajian di Afrika Selatan mendapati, pesakit yang dimasukkan ke hospital semasa gelombang keempat penularan virus Covid-19 yang dikuasai varian Omicron, didapati 73 peratus kurang teruk jangkitannya berbanding pesakit yang dimasukkan ke hospital semasa gelombang ketiga yang dikuasai varian Delta.

"Data ini agak kukuh sekarang setelah kemasukan ke hospital dan kes diasingkan," kata Profesor Madya Wendy Burgers, pakar imunologi di Universiti Cape Town.

Awal sebelum itu, keprihatinan terhadap Omicron disebabkan oleh jumlah mutasi yang besar bagi varian tersebut, yang kebanyakannya berada dalam protein pepaku atau dalam istilah Inggeris spike protein - bahagian virus yang bertanggungjawab membantunya menguasai sel perantaraan atau host cell.

Mutasi ini, menurut data awal, membenarkan virus menjangkit dengan mudah bukan sahaja orang yang tidak menjalani vaksinasi, malah turut mengelak tindak balas antibodi daripada kedua-dua jangkitan sebelumnya dan vaksin.

Bagaimanapun, masih timbul persoalan bagaimana Omicron akan bertindak sebaik ia melepasi barisan pertama pertahanan.

Beberapa faktor kelihatannya, telah menyebabkan varian Omicron kurang membahayakan atau menjadikan keadaan lebih teruk, berbanding gelombang Covid-19 sebelum ini.

Satu faktor adalah keupayaan virus untuk menjangkiti paru-paru.

Jangkitan Covid-19 selalunya bermula di hidung dan merebak ke tekak.

Jangkitan 'lembut' tidak akan pergi lebih jauh dari saluran pernafasan atas atau upper respiratory tract, tetapi sekiranya ia sampai ke paru-paru, ia selalunya menandakan gejala lebih teruk berlaku.

Lima kajian berasingan pada minggu lalu memberi gambaran varian Omicron tidak mudah menjangkiti paru-paru berbanding varian sebelumnya.

Dalam satu kajian, yang dibentangkan secara pracetak di Internet oleh satu gabungan besar saintis Amerika dan Jepun menunjukkan, dua binatang yang diuji kaji, hamster dan tikus yang dijangkiti Omicron tidak mengalami kerosakan paru-paru seteruk varian terdahulu, dan tidak mungkin mati berbanding mereka yang dijangkiti varian terdahulu.

Satu kajian di Belgium menemukan hasil serupa ke atas hamster Syria, yang diketahui mengalami sakit teruk setelah dijangkiti varian terdahulu.

Di Hong Kong, saintis mengkaji sejumlah kecil contoh tisu paru-paru daripada pesakit yang diambil semasa pembedahan dan mendapati Omicron tumbuh lebih perlahan dalam contoh itu berbanding varian lain.

Profesor Burgers berkata, perubahan dalam penularannya kemungkinan disebabkan bentuk dalaman atau anatomi virus telah berubah.

"Sebelum ini ia menggunakan dua laluan berbeza untuk masuk ke dalam sel, dan kini disebabkan oleh perubahan keseluruhan pada protein pepaku, ia lebih memilih satu laluan sahaja," katanya.

"Kelihatannya ia lebih menjangkiti saluran pernafasan atas berbanding paru-paru."

Ini, kata Profesor Burgers, bermakna kesan jangkitan tidaklah seteruk dulu, tetapi lebih mudah berjangkit kerana virus ini lebih kerap mengulang jangkitan di saluran pernafasan atas, di mana ia lebih mudah merebak.

Sedang Omicron mungkin lebih 'bijak' mengelak serangan antibodi, kajian terkini menunjukkan ia kurang berjaya dalam mengelak barisan pertahanan kedua vaksin dan jangkitan terdahulu: sel-T dan sel-B.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg