Kes 'pembunuhan tandas' di Jakarta: 1 suspek ditangkap, 1 mati ditembak polis

JAKARTA: Polis Indonesia menangkap pada Rabu (28 Dis) seorang suspek kes "pembunuhan tandas" mengejutkan di sebuah rumah di Jakarta Timur, manakala seorang lagi suspek mati ditembak polis.

Polis berkata mereka sedang mencari dua lagi suspek dalam apa yang disifatkan mereka sebagai kes rompakan.

Penyiasat dibantu oleh rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) rumah itu, yang mengenal pasti salah seorang daripada empat penceroboh itu sebagai seorang penjenayah dikenali.

Dalam kes itu, enam orang ditemui mati pada Selasa (27 Dis) dalam tandas kecil di sebuah rumah di kawasan perumahan mewah Pulo Mas, kira-kira 15 minit dari pusat bandar Jakarta.

Seramai 11 orang dikunci di dalam bilik air sehari oleh perompak, yang mengambil barang-barang berharga dari rumah tersebut.

Mangsa ialah hartawan hartanah dan arkitek Dodi Triyono, 59 tahun, bersama dua anaknya dan tiga orang lain.

Ketua Polis Negara Tito Karnavian berkata pada Rabu dua daripada suspek dijumpai bersembunyi di Bekasi, Jawa Barat.

"Dua ditahan, salah seorang daripada mereka melawan tangkapan dan kemudian mati akibat kehilangan darah," katanya dalam satu taklimat berita.

Jeneral Tito menamakan mereka sebagai Ramlan Butarbutar, yang ditembak polis, dan Erin Situmorang.

Beliau memuji polis kerana membuat tangkapan cepat.

Ketua Inspektor M. Iriawan berkata polis sedang mencari dua penceroboh lagi.

Encik Dodi dan dua anaknya dikebumikan di Jakarta Selatan pada Rabu, dengan saudara-mara tidak dapat menahan air mata, lapor akhbar The Jakarta Post.

Dua anak perempuan beliau yang terbunuh ialah Diona Arika Andra Putri, 16 tahun, dan Dianita Gemma Dzalfayla, sembilan tahun.

Pengebumian dihadiri puluhan saudara-mara, termasuk seorang lagi anak perempuan Encik Dodi, Zannette Kalila Azaira, 13 tahun, yang terselamat selepas pengalaman pahit dikunci dalam tandas itu.

Tiga lagi yang terbunuh ialah seorang kawan perempuan anak Encik Dodi dan dua pemandu keluarga.

Lima mayat ditemui oleh jiran pada pagi Selasa di bilik mandi, sementara seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Lemas dipercayai menjadi punca kematian.

Diona Arika menelefon ibunya sehari sebelum kejadian itu.

"Kata-kata terakhir beliau ialah 'Mama, I love you, miss you.'," ibunya, Cik Almyanda Saphirra, memberitahu laman web berita Tempo.

Beliau bekas isteri Encik Dodi dan tidak lagi tinggal di rumah itu.

Siaran berita televisyen Indonesia menunjukkan pada Rabu gambar-gambar gaya hidup mewah Encik Dodi, termasuk beliau bersama kereta Ferrari, Lamborghini dan Hummer, antara beberapa kenderaan mewah di rumahnya.

Media juga menunjukkan gambar ruang tamu, dengan sebuah kolam renang di sebelahnya.

Zannette menulis di laman Instagramnya pada Rabu: "Innalillahi wa inna ilaihi rojiun... Semoga papa saya, kak saya dan adik saya diterima di sisi allah swt... Amiin."

Galeri Foto