Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes saman keluarga mangsa ubat batuk dikemuka di mahkamah Indonesia

Jan 17, 2023 | 9:47 PM
Safitri Puspa, 42 tahun, ibu seorang mangsa kelihatan memakai kemeja T yang menggambarkan anaknya, Panghegar Bhumi, 8 tahun, ketika menghadiri perbicaraan pada 17 Januari 2023. -
Safitri Puspa, 42 tahun, ibu seorang mangsa kelihatan memakai kemeja T yang menggambarkan anaknya, Panghegar Bhumi, 8 tahun, ketika menghadiri perbicaraan pada 17 Januari 2023. - - FOTO: REUTERS

JAKARTA: Keluarga kanak-kanak Indonesia yang meninggal dunia disebabkan ubat batuk yang tercemar telah menuntut restitusi sedang sebuah mahkamah Indonesia mula mendengar kes saman agensi pemerintah dan syarikat farmaseutikal semalam. Sekitar 200 kanak-kanak maut akibat kecederaan ginjal akut di Indonesia sejak tahun lalu. Pihak berkuasa berkata dua bahan iaitu ethylene glycol dan diethyelene glycol yang ditemui dalam beberapa ubat paracetamol cecair dikaitkan dengan penyakit itu. Dua bahan tersebut turut digunakan dalam cecair brek anti-beku dan aplikasi perindustrian yang lain. Namun, ia juga digunakan sebagai alternatif lebih murah dalam sesetengah produk farmaseutikal bagi glycerine, sejenis bahan pemekat yang digunakan dalam banyak ubat batuk bentuk cecair. Dua bahan yang digunakan dalam ubat batuk yang tercemar itu berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan ginjal akut. Sebanyak 25 keluarga menyaman kementerian kesihatan dan kewangan di Indonesia serta pengawal ubat dan sekurang-kurangnya lapan syarikat ubat. Peguam keluarga itu, Encik Awan Puryadi, berkata mereka masing-masing mahu menuntut pampasan hingga 3.4 bilion Rupiah ($296,200). Cik Solihah, 36 tahun, yang hadir di mahkamah di Jakarta itu semalam berkata anak perempuannya yang berumur tiga tahun didiagnos menghidap kecederaan ginjal akut selepas mengambil ubat cecair itu dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. Tambahnya, beliau mahu pemerintah bertanggungjawab. "Jika anak saya tidak mengambil ubat itu, mungkin dia masih akan berada di sini. "Saya harap semua pihak yang terlibat akan bertanggungjawab bagi keadaan kanak-kanak yang terkorban dan mereka yang masih sakit," ujarnya. Wakil kementerian kewangan dan lima syarikat farmaseutikal yang dinamakan dalam dokumen mahkamah tidak menjawab permohonan bagi mereka mengulas tentang kes itu. Lagi tiga syarikat tidak dapat dihubungi. Pengawal ubat negara itu, Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), berkata mereka akan menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung, tetapi kementerian kesihatan enggan mengulas. Pihak berkuasa telah melarang beberapa ubat batuk cecair dan mengambil tindakan guaman terhadap beberapa syarikat farmaseutikal yang produknya didakwa mengandungi bahan yang berbahaya itu. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg