KUALA LUMPUR: Puncak menara tertinggi di Malaysia yang masih dalam pembinaan, Merdeka 118, sekali lagi menjadi sasaran pencerobohan warga asing untuk mencipta kandungan di media sosial bagi menarik perhatian peminat.
Selepas diceroboh pasangan Russia pada bulan lalu, terbaharu puncak menara terbabit diceroboh kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, yang berkongsi video 'pencerobohan' mereka yang didakwa dilakukan pada 30 Disember lalu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, PNB Merdeka Venture, yang memiliki bangunan itu, dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada 1 Mei 2022, dan semua penceroboh telah pun ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Kami ingin menegaskan bahawa aksi seperti ini adalah menyalahi undang-undang dan berbahaya, dan membahayakan keselamatan penceroboh dan kakitangan yang bekerja keras di tapak ini.
“Oleh itu, adalah sangat membingungkan bahawa perbuatan haram yang berlaku ke atas hartanah kami digunakan untuk keuntungan komersial dan populariti haram,” jelas kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (10 Januari) itu.
Ia menambah bahawa syarikat itu akan terus menaik taraf langkah keselamatannya dengan sewajarnya kerana bangunan itu masih merupakan tapak pembinaan yang aktif di mana keselamatan menjadi keutamaan.
Video selama 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan terbabit, terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.
Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.
Video itu juga memuatkan adegan mereka "meraikan" kejayaan selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka.
Dalam penerangan video itu, kumpulan itu berkata bahawa pendakian berkenaan "memakan masa, sukar dan penuh dengan cabaran."
"Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.
"Ini berakhir dengan jayanya. Ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rakaman tersebut," dakwa kumpulan itu.
Mereka mendakwa tindakan memanjat menara itu hanyalah 'luahan artistik kebebasan yang dilakukan demi cinta", dan bukan untuk menggalakkan sesiapa meniru semula tindakan yang dipaparkan.
Bulan lalu, pasangan Russia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, menceroboh dan menawan puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.
Nikolau dalam perkongsian di Twitter, mendakwa menyamar sebagai pekerja binaan yang bertudung ketika menyelinap masuk bangunan itu, sebelum memanjat selepas pekerja pulang. Namun, cara Beerkus sampai ke puncak tidak disebutkan.