PARIS: Kebimbangan memuncak pada Selasa mengenai keselamatan lima wanita muda Iran yang merakamkan diri mereka menari tanpa hijab dalam video tular selepas dakwaan mereka telah ditangkap dan dipaksa supaya mengaku.
Rakaman video itu menunjukkan wanita berkenaan sedang menari dengan bahagian perut mereka kelihatan di hadapan bangunan tinggi, di daerah kediaman Teheran di Ekbatan diiringi lagu Calm Down oleh penyanyi asal Nigeria, Afrobeats, dan 'rapper' Rema.
Video itu tersebar luas di TikTok dan media sosial lain pada minggu lalu ketika sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac.
Para aktivis dari kawasan Ekbatan mula memuat naik video tersebut di Telegram dan Twitter.
Mereka berkata pihak berkuasa telah bertanya kepada para penduduk di kawasan itu sama ada mereka kenal wanita-wanita dalam video itu.
Pada Selasa lalu para aktivis mendakwa bahawa wanita berkenaan telah ditahan dan dipaksa mengaku merakamkan video tersebut dan menyesali perbuatan itu.
Di negara republik Islam itu, adalah menjadi satu kesalahan bagi wanita menari di tempat awam dan tidak memakai hijab.
Desakan supaya dimansuhkan peraturan mewajibkan pemakaian hijab semakin meluas dengan gerakan bantahan terus berlaku sejak September 2022, selepas kematian Cik Mahsa Amini, 22 tahun, yang ditahan kerana melanggar peraturan berpakaian itu.
Setelah video tular lima wanita itu, satu lagi video muncul di media sosial dengan empat wanita berhijab tampil seorang demi seorang, menyuarakan penyesalan mereka.
Kelihatannya, rakaman itu dibuat di tempat yang sama di kawasan Ekbatan tetapi hal itu tidak dapat disahkan.
Sama ada wanita-wanita itu telah dibebaskan atau tidak juga tidak segera diketahui.
Ekbatan, kawasan kediaman menengah, popular di kalangan karyawan muda dan keluarga, sering melakukan tindakan antirejim sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Penyanyi Rema, yang memuat naik semula video wanita yang menari itu dengan rambut panjang dan tidak berhijab, mengulas:
"Kepada wanita-wanita cantik itu yang berjuang demi kehidupan yang lebih baik di dunia ini, saya teruja dengan kamu, saya bernyanyi untuk kamu, dan saya bermimpi dengan kamu."
Lagu Calm Down menjadi popular sedunia, setelah Rema mengeluarkan lagu yang diadun semula dengan penyanyi popular, Selena Gomez.
Video itu juga menarik perhatian Anggota Jerman Parlimen Eropah, Cik Hannah Neumann.
"Pada Hari Wanita (Antarabangsa), mereka menyiarkan video itu. Berita itu tidak bernilai, tetapi mereka menari di Iran," kata Cik Neumann dalam ciapannya.
"Pihak rejim melakukan siasatan, mereka dipenjara, dipaksa mengaku dan tidak memakai hijab," dakwa Cik Neumann lagi.
Di beberapa tunjuk perasaan, ratusan orang telah terbunuh, termasuk puluhan anggota pasukan keselamatan.
Ribuan yang lain ditangkap kerana menyertai kegiatan yang disifatkan oleh para pegawai Iran sebagai "rusuhan" dan menuduh kumpulan yang membantah itu ada kaitan dengan Amerika Syarikat, Israel dan sekutu-sekutunya. - AFP.
"Pada Hari Wanita (Antarabangsa), mereka menyiarkan video itu. Berita itu tidak bernilai, tetapi mereka menari di Iran. Pihak rejim melakukan siasatan, mereka dipenjara, dipaksa mengaku dan tidak memakai hijab." - Anggota Jerman Parlimen Eropah, Cik Hannah Neumann.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg