KUALA LUMPUR: Agong Malaysia, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kini dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi di Institut Jantung Negara (IJN).

Istana Negara dalam satu kenyataan pada Isnin (28 September), yang ditukil akhbar The Straits Times, menjelaskan Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Menurut kenyataan itu, rawatan keracunan makanan bermula apabila Sultan Abdullah dimasukkan ke IJN pada malam 21 September lalu.

"Rawatan intervensi pula dilakukan menyusuli proses pengimejan resonan magnetik (MRI) pada 22 September lalu yang menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Sultan Abdullah ketika bersukan.

"Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Sultan Abdullah berjalan dengan jaya pada 24 September lalu," kata kenyataan itu.

Ia menambah, susulan daripada rawatan intervensi ini, baginda dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

The Straits Times juga melaporkan Sultan Abdullah dimasukkan ke hospital Isnin lalu (21 September), sehari sebelum beliau dijadualkan bertemu ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membincangkan dakwaan bahawa beliau memiliki sokongan majoriti ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Sungguhpun begitu, kenyataan Isnin (28 September) tidak menjelaskan apa-apa tentang dakwaan Anwar itu.