Topik diikuti
Pergi ke BHkuKesuburan bukan isu wanita sahaja, mutu sperma boleh jejas peluang hamil
Kesuburan bukan isu wanita sahaja, mutu sperma boleh jejas peluang hamil
Masalah seperti jumlah sperma rendah, pergerakan lemah dan kerosakan DNA sperma boleh berlaku walaupun lelaki kelihatan sihat
Kesuburan bukan isu wanita sahaja, mutu sperma boleh jejas peluang hamil
Apabila pasangan menghadapi kesukaran untuk hamil, perhatian sering tertumpu kepada wanita.
Namun, bukti perubatan menunjukkan masalah kesuburan bukan hanya melibatkan wanita semata-mata.
Faktor lelaki menyumbang hampir separuh daripada kes ketidaksuburan, namun kesihatan reproduktif lelaki masih sering terpinggir.
Salah faham ini boleh melambatkan proses diagnosis dan rawatan.
Malah ramai pasangan terkejut apabila mengetahui kesuburan lelaki memainkan peranan yang sama penting.
Dalam sesetengah kes, menilai kesuburan lelaki lebih awal dapat menjimatkan masa berharga dalam perjalanan rawatan kesuburan.
Stigma Kesuburan Lelaki Perlu Dibincang
Di Singapura, kadar ketidaksuburan semakin meningkat, dipengaruhi oleh perkahwinan pada usia lebih lewat, penangguhan perancangan keluarga, serta gaya hidup moden.
Walaupun perbincangan tentang kesihatan reproduktif wanita semakin terbuka, kesuburan lelaki masih dianggap sebagai topik sensitif dan kerap dielak.
Masalah kesuburan sering dilihat sebagai isu peribadi atau dikaitkan terutamanya dengan wanita.
Akibatnya, faktor lelaki hanya diberi perhatian pada peringkat kemudian, ketika masa dan pilihan rawatan mungkin semakin terhad.
Kelewatan ini boleh menghalang pasangan daripada mengenal pasti punca sebenar lebih awal dan membuat keputusan lebih tepat.
Kesihatan sperma merupakan komponen utama dalam kesuburan lelaki. Ia bukan sekadar tentang bilangan sperma, tetapi juga pergerakan, bentuk dan mutu genetik.
Mutu sperma juga boleh memberikan gambaran tentang tahap kesihatan keseluruhan seorang lelaki.
Beberapa kajian menunjukkan kaitan antara parameter sperma yang lemah dengan risiko kesihatan jangka panjang.
Pakar kesuburan menjelaskan bahawa masalah kesuburan lelaki boleh berlaku walaupun seseorang kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala jelas.
Dengan pengalaman luas mengendalikan kes rawatan kesuburan, beliau berkata faktor lelaki sering memainkan peranan penting dalam kesukaran pasangan untuk mendapatkan zuriat.
Masalah berkaitan sperma seperti jumlah sperma rendah, pergerakan sperma lemah atau bentuk sperma tidak normal kadangkala hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan perubatan khusus.
Menurut pakar, penilaian awal dan tepat amat penting supaya rawatan dapat dimulakan lebih cepat dan peluang kehamilan dapat ditingkatkan.
Kesan Gaya Hidup dan Persekitaran
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, penurunan mutu sperma secara global telah diperhatikan.
Faktor gaya hidup memainkan peranan besar.
Pemakanan yang tinggi dengan makanan diproses tetapi rendah nutrien penting boleh menjejas penghasilan sperma.
Pada masa sama, waktu kerja yang panjang, kurang bersenam, tekanan kronik dan tidur tidak mencukupi juga boleh menurunkan hormon testosteron yang penting dalam proses pembentukan sperma.
Faktor persekitaran dan tabiat harian turut memberi kesan.
Merokok dan penggunaan vape boleh merosakkan sperma serta bahan genetiknya.
Pendedahan haba yang kerap, seperti penggunaan kolam air panas, pemakaian pakaian yang terlalu ketat, atau meletakkan komputer riba di atas paha, boleh mengganggu penghasilan sperma.
Pakar juga menekankan bahawa sesetengah bentuk senaman boleh menjejas kesihatan sperma jika dilakukan secara berlebihan.
Kegiatan berbasikal secara intensif atau jarak jauh, terutama tanpa pelapik tempat duduk yang sesuai, boleh meningkatkan haba dan tekanan di sekitar buah zakar, yang berpotensi menjejas penghasilan sperma dalam jangka masa panjang.
Pakar menegaskan kepentingan kesederhanaan, penggunaan peralatan yang sesuai serta tempoh rehat yang mencukupi, bukannya mengelakkan kegiatan fizikal sepenuhnya.
Selain ujian asas air mani, perhatian kini semakin diberikan pada mutu asid ‘deoxyribonucleic’ atau DNA sperma.
Pakar menjelaskan, walaupun bilangan dan pergerakan sperma kelihatan normal, kerosakan DNA sperma masih boleh menjejas kesuburan dan meningkatkan risiko keguguran.
Dalam kes tertentu, penilaian khusus seperti ujian pemecahan DNA sperma boleh membantu memberikan gambaran lebih mendalam.
Ini membolehkan doktor memahami masalah mutu sperma yang mungkin tidak dikesan melalui analisis air mani rutin, terutama bagi pasangan yang mengalami kesukaran berulang tanpa punca yang jelas.
Tanggungjawab Bersama
Berita baiknya, kesihatan sperma tidak bersifat kekal.
Sperma diperbaharui kira-kira setiap tiga bulan, bermakna perubahan gaya hidup yang positif boleh membawa kepada penambahbaikan dalam tempoh yang agak singkat.
Mengekalkan berat badan sihat, bersenam secara berkala, mengamalkan pemakanan seimbang, mendapatkan tidur yang mencukupi, serta mengurangkan pendedahan kepada toksin dan haba berlebihan boleh membantu menyokong kesihatan sperma yang lebih baik.
Namun begitu, stigma sosial masih menghalang ramai lelaki daripada menjalani penilaian.
Menjadikan ujian sperma sebagai sebahagian daripada penilaian kesuburan rutin boleh membantu pasangan mengenal pasti masalah lebih awal dan merancang rawatan dengan lebih jelas serta teratur.
Pakar menegaskan bahawa kesuburan harus dilihat sebagai tanggungjawab bersama.
Menangani kesihatan lelaki dan wanita secara serentak membolehkan pasangan mengambil pendekatan lebih seimbang dan menyeluruh, sekali gus mengurangkan kelewatan yang tidak perlu dalam mendapatkan rawatan.
Dengan cabaran kesuburan yang semakin meningkat, sudah tiba masanya untuk meninggalkan tanggapan lama.
Mengiktiraf peranan lelaki dalam kesihatan reproduktif bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, tetapi menekankan tanggungjawab bersama.
Dengan memberi keutamaan kepada kesihatan lelaki dan wanita, pasangan dapat melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dalam usaha membina keluarga yang sihat bersama.
Penulis Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan serta Kesuburan dari Alpha IVF Centre & Alpha Women’s Specialists.

