Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ketegangan AS-China, bagaimana boleh timbul, cara tangani

May 30, 2022 | 05:30 AM



KETEGANGAN antara Amerika Syarikat dengan China boleh mengapikan empat pertikaian melibatkan Laut China Timur dan Selatan, Selat Taiwan dan Semenanjung Korea.



Bagaimana ketegangan ini boleh timbul dan bagaimana ia ditangani?



Berita Harian melaporkan.



KETEGANGAN AMERIKA-CHINA ANCAM KEAMANAN ASIA



Ketegangan yang meningkat antara Amerika dengan China mengancam keamanan Asia dan harus ditangani dengan berhati-hati bagi memastikan ketegangan di rantau itu tidak menjadi lebih besar, menurut pakar.



Namun, persaingan antara dua kuasa besar itu juga menambah risiko konflik tentera antara mereka di Asia-Pasifik, menurut laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) tentang usaha memperkukuh pengurusan krisis Amerika-China.



Memburukkan lagi keadaan, persaingan antara mereka kian lebih bersifat tentera di Laut China Selatan dan Selat Taiwan.



Bahkan, interaksi diplomatik mereka juga berkurangan kebelakangan ini.



Menurut laporan itu, ini juga meningkatkan risiko mereka mempunyai salah tanggapan tentang niat satu sama lain sekiranya berlaku kemalangan tentera yang tidak sengaja.



LAUT CHINA SELATAN: MILIKI SUMBER MINYAK, GAS DAN IKAN



Laut China Selatan bukan sahaja menyediakan laluan perkapalan komersial utama malah memiliki sumber minyak dan gas yang berharga serta menawarkan sumber ikan yang banyak kepada nelayan.



Kawasan ini menjadi tumpuan dalam beberapa pertikaian wilayah antara China - yang menuntut sebahagian besar perairannya - serta Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.



Sejak 2014, China menekankan tuntutannya dengan lebih tegas, antara lain dengan meningkatkan kerja penebusgunaan tanah dan membina ciri tentera.



Amerika berkata tuntutan China menggugat aturan berdasarkan peraturan dan menuduh Beijing membuli negara Asia Tenggara dari segi sumber tengah laut.



Kedua-dua pentadbiran Trump dan Biden jelas menyokong keputusan sebuah tribunal antarabangsa bahawa kebanyakan tuntutan Beijing sebagai tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.



LAUT CHINA TIMUR: PULAU YANG MUNGKIN DEKAT DENGAN SUMBER MINYAK DAN GAS YANG BESAR



Kepulauan Diaoyu atau Senkaku merangkumi beberapa pulau yang tidak mempunyai penduduk di Laut China Timur, dan dituntut oleh China, Jepun dan Taiwan.



Jepun telah mentadbir pulau itu selama lebih seabad dan menggelarnya kepulauan Senkaku.



Pada 1971, China mula mempertikai tuntutan Tokyo ke atas kepulauan yang mereka gelar sebagai Diaoyu itu, secara rasmi.



Taiwan juga menuntut kepulauan itu dan menamakannya Diaoyutai.



Sepanjang sedekad lalu, kejadian di perairan dan udara di kawasan itu antara China dengan Jepun juga telah meningkat.



Ketegangan yang meningkat itu juga menimbulkan keprihatinan bahawa sebarang kejadian tentera atau kemalangan boleh menjadi lebih tegang dan ini boleh menarik penglibatan Amerika, yang komited mempertahan Jepun, ke dalam konflik itu.



SELAT TAIWAN: PERTIKAIAN ANTARA SELAT BOLEH LIBATKAN PIHAK LAIN



China dan Taiwan secara de fakto merupakan entiti politik yang berasingan sejak Perang Sivil China berakhir pada 1949.



Kini, isu utama dalam ketegangan antara kedua-dua pihak adalah status politik Taiwan.



China menganggap Taiwan sebagai wilayah pembelot dan tidak mengecualikan langkah menggunakan kuasa tentera untuk disatukan semula, secara paksa jika perlu.



Konfrontasi sedemikian juga boleh menyebabkan Amerika, yang mempunyai hubungan rapat namun tidak rasmi dengan Taiwan, terlibat dalam konflik ketenteraan dengan China.



SEMENANJUNG KOREA: KEADAAN SEPERTI BIASA TETAPI KETEGANGAN TIMBUL APABILA KOREA UTARA UJI PELURU BERPANDU



Selama berdekad-dekad, Korea Utara enggan menyahut gesaan agar mengakhiri program nuklearnya.



Hubungan antara Korea Utara dengan Selatan, yang secara umumnya masih berperang sejak konflik mereka antara 1950 dengan 1953 berakhir dengan perjanjian gencatan senjata, kadangkala kelihatan dalam keadaan berperang dan kadangkala kelihatan reda, dengan kesan yang rumit bagi keadaan keselamatan meluas di Asia Timur Laut.



Pemerintah konservatif baru Seoul mempunyai pendekatan tegas terhadap Korea Utara dan inginkan program nuklearnya dihapuskan secara menyeluruh dan lengkap.



Ini berbeza daripada pendekatan pemerintah liberal sebelum ini yang lebih memilih pendekatan meredakan ketegangan dan mahukan Korea Utara dan Selatan itu kembali bersatu akhirnya.



Pyongyang menganggap senjata nuklearnya sebagai kelebihan untuk menjamin keselamatannya terhadap pihak luar yang menentangnya, khususnya terhadap pencerobohan Amerika.



Amerika dan beberapa negara lain juga bertindak dengan mengenakan sekatan terhadap Korea Utara dan menyifatkan senjata nuklearnya sebagai ancaman terhadap kestabilan dan keamanan antarabangsa.



Pyongyang juga kerap menguji peluru berpandu dan senjata nuklearnya bagi mengingatkan dunia akan keupayaannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >