Ketua Menteri Delhi terima kritikan buat dakwaan palsu tentang 'virus asal S'pura'
Ketua Menteri Delhi terima kritikan buat dakwaan palsu tentang 'virus asal S'pura'
NEW DELHI: Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal menerima kritikan di India setelah membuat kenyataan palsu tentang "jenis korona baru yang dijumpai di Singapura" yang kononnya amat berbahaya bagi kanak-kanak dan boleh mencetus gelombang jangkitan ketiga di India.
Varian baru yang dimaksudkan oleh menteri itu, bahkan kali pertama ditemui di India.
Beberapa ahli politik dan warga India lain telah mengkritiknya bagi komen tersebut, lapor The Straits Times.
Anggota Parlimen Priyanka Chaturvedi mengirim tweet kelmarin untuk menyatakan bahawa Singapura merupakan "sekutu lama dan telah memberikan sokongan yang kuat kepada India" sedang ia memerangi gelombang kedua Covid-19.
"Ramai orang India telah menjadikan Singapura sebagai rumah mereka. Dakwaan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas tanpa kepakaran atau autoriti mengenai negara merosakkan hubungan dua hala kita," kata Cik Chaturvedi, anggota Shiv Sena, sebuah parti politik yang merupakan sebahagian daripada perikatan yang memerintah negeri Maharashtra di barat India.
Encik Kejriwal pada Selasa lalu telah menghantar tweet untuk menunjukkan keprihatinannya mengenai bentuk baru "korona" yang ditemui di Singapura, dan meminta pemerintah India supaya membatalkan penerbangan dari Singapura dan mengutamakan vaksin untuk kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan Singapura telah sejak itu menjelaskan bahawa tiada "varian Singapura".
Varian yang telah didapati dalam banyak kes Covid-19 di Singapura dan lebih banyak menjejas kanak-kanak dalam beberapa minggu terakhir adalah varian B1617, yang kali pertama dikesan di India.
Ramai pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), termasuk daripada pemerintah, juga mengkritik Encik Kejriwal.
Menteri Ehwal Luar India, Dr S. Jaishankar, berkata "komen yang tidak bertanggungjawab oleh mereka yang sepatutnya lebih mengetahui boleh merosakkan hubungan yang sekian lama sudah dipupuk.
"Oleh itu, izinkan saya menjelaskan bahawa - CM (Ketua Menteri) Delhi tidak berucap bagi pihak India," katanya di Twitter kelmarin.
Kementerian Ehwal Luar India bahkan menulis tweet bahawa Pesuruhjaya Tinggi India di Singapura telah menjelaskan kepada Kementerian Ehwal Luar Singapura bahawa "Delhi CM tidak memiliki keupayaan untuk bercakap tentang varian Covid atau dasar penerbangan awam".
Komen Encik Kejriwal telah mencetus pertikaian politik antara partinya Parti Aam Aadmi dan pesaing BJP, sedang kedua-dua pihak cuba untuk menuduh satu sama lain bagi pengurusan pandemik di Delhi.
Rakan sekerjanya dan Timbalan Ketua Menteri Delhi Manisha Sisodia menulis tweet kelmarin untuk mengatakan bahawa sedang Encik Kejriwal prihatin terhadap anak-anak, pemerintah kesatuan pimpinan BJP bimbang akan hubungannya dengan Singapura.
Encik Sisodia tidak menyebut bahawa tiada "varian Singapura" atau jenis B1617 yang menimbulkan kebimbangan itu.
Mengulas mengenai bagaimana pemerintah India tahun lalu gagal mencegah kemasukan jenis virus yang kali pertama dikesan di Britain, dan kemudian menular di India, Encik Sisodia berkata: "Singapura bukanlah masalahnya. Masalahnya ialah keselamatan anak-anak kita. Hari ini, pemerintah pusat kekal jahil tentang bahaya akan datang dan tidak peduli dengan keselamatan anak-anak kita."
"Saya berharap BJP dan pemerintah pusat sama prihatin terhadap anak-anak negara ini seperti mana mereka prihatin mengenai imej mereka di luar negara," tambahnya.

