CHENNAI: Ketua menteri negeri Tamil Nadu di selatan India dan antara pemimpin politik paling popular di negara itu, Cik Jayalalithaa Jayaram, meninggal dunia selepas lama sakit, umum pihak berkuasa hospital pada lewat Isnin (5 Dis) malam.
Bekas bintang filem berusia 68 tahun itu meninggal dunia pada 11.30 malam Isnin (2 pagi 6 Dis waktu Singapura), kata Hospital Apollo di ibu negeri Chennai.
Beratus-ratus penyokong berjaga siang dan malam di luar hospital swasta itu sejak Cik Jayalalithaa dimasukkan pada September kerana mengalami demam.
Bilangan mereka meningkat apabila keadaan beliau bertambah teruk pada Ahad.
Perdana Menteri Narendra Modi telah mengucapkan takziah.
Parti politik Cik Jayalalithaa, AIADMK, berkata di Twitter: "pemimpin yang kita cintai, wanita Besi India... Amma, tidak ada lagi."
Kepada berjuta-juta pengikutnya, ketua menteri itu dikenali sebagai 'Amma' (ibu).
Kehadiran polis dan keselamatan dipertingkat di seluruh negeri ini kerana bimbang huru-hara daripada pengikut ketua menteri itu yang marah dan emosi.
Cik Jayalalithaa mendapat kesetiaan ramai pengundi di negeri ini dengan beberapa skim sangat popular, termasuk "kantin Amma" yang menyediakan makan tengah hari pada harga hanya tiga rupee (enam sen Singapura).
Namun, beliau juga dituduh sebagai diktator dan malah pernah dipenjara kerana rasuah.
Pembantu kabinet yang dpercayai beliau, Encik O Panneerselvam, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baru selepas tengah malam.
Pemerhati kini bimbang apakah seorang yang setia tetapi tiada karisma sebenar atau sokongan massa dapat memerintah dengan lancar tanpa pemimpin batu api itu. - AFP