PARIS: Kegagalan sedunia dalam mengurangkan pelepasan karbon akan mengakibatkan bumi berdepan "pemanasan buruk" setinggi 2.7 darjah selsius, demikian amaran yang diberikan ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres kelmarin.
Beliau menyatakan demikian beberapa minggu sebelum berlangsungnya rundingan penting berkenaan isu iklim.
Kenyataan beliau itu disuarakan sedang laporan PBB berkenaan ikrar berkenaan pelepasan karbon sedunia, yang seharusnya dikurangnya, kemungkinan "menyaksikan peningkatan yang agak ketara".
Ini menunjukkan "dunia menghadapi bencana buruk dengan pemanasan sehingga 2.7 darjah," kata Encik Guterres dalam satu kenyataan.
Tahap peningkatan itu akan memusnahkan sasaran suhu yang sebelum ini ditetapkan semasa perjanjian iklim Paris, yang mahu pemanasan berada di bawah paras 2 darjah dan sebaiknya mencatat 1.5 darjah melebihi paras praperindustrian.
"Kegagalan untuk memenuhi matlamat ini akan diperkirakan berdasarkan kehilangan nyawa dan mata pencarian yang cukup besar," kata Encik Guterres lagi.
Di bawah perjanjian bersejarah Paris pada 2015, negara-negara sedunia komited untuk mengurangkan pelepasan karbon, selain memberi bantuan kepada negara-negara yang rentan iklim.
Bagaimanapun tempoh untuk bertindak semakin sempit sedang banyak negara dilihat lembab dalam melaksanakan tindakan mereka.
Bulan lalu, satu amaran getir yang berisyaratkan "kod merah" untuk kemanusiaan dikeluarkan oleh Panel Antara Pemerintah Terhadap Perubahan Iklim (IPCC) yang menyatakan suhu purata Bumi akan meningkat 1.5 darjah lebih tinggi semasa 2030, sedekad lebih awal dari yang diramalkan hanya tiga tahun sebelum ini.
"Kita harus bertindak. Kita semua, harus bertindak sekarang," kata Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden kelmarin, dengan menggesa dunia untuk mengetengahkan cita-cita "tertinggi" mereka ke sidang iklim PBB di Glasgow, Scotland, pada November ini.
"Mereka yang belum berbuat demikian, masa semakin berlalu," kata Encik Biden di Rumah Putih di awal sidang puncak maya dengan enam pemimpin asing.
Dengan hanya 1.1 darjah tahap pemanasan sahaja, dunia kini menyaksikan pelbagai bencana alam yang semakin buruk - banjir besar, ribut taufan, kebakaran hutan umpamanya - akibat perubahan iklim yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
"Usaha memerangi perubahan iklim akan hanya berjaya jika semua orang bersatu dalam menggalak kerjasama yang lebih baik, lebih bercita-cita dan lebih berwibawa," kata Encik Guterres.
"Sekarang adalah masa untuk pemimpin bertindak, atau orang dari semua negara akan membayar harga yang tragik." - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg