NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres mengecam langkah Israel melarang bekalan elektrik atau air ke kemudahan milik Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Jurucakap bagi Encik Guterres, Encik Stephane Dujarric, berkata pada 31 Disember, langkah itu akan “terus menghambat” keupayaan agensi itu beroperasi dan mengendalikan kegiatannya.
“Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB kekal relevan bagi UNRWA, hartanah dan asetnya, serta bagi pegawai dan kakitangannya yang lain.
“Kemudahan yang digunakan UNRWA tidak boleh diganggu,” kata Encik Dujarric, sambil menambah UNRWA adalah sebahagian penting daripada badan sedunia itu.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Encik Phillipe Lazzarini, turut mengecam langkah itu dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen sistematik yang berterusan untuk mencemar nama baik UNRWA.
Encik Lazzarini turut menyatakan langkah tersebut menghalang peranan yang dimainkan UNRWA dalam menyalurkan bantuan kepada pelarian Palestin.
Pada 2024, Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang melarang UNRWA daripada beroperasi di negara itu dan melarang pegawainya daripada berhubung dengan agensi berkenaan.
Akibatnya, UNRWA beroperasi di Baitulmakdis Timur, yang dianggap PBB sebagai wilayah yang diduduki oleh Israel.
Israel menganggap seluruh Baitulmakdis sebagai sebahagian daripada negaranya.
UNRWA menyediakan pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada berjuta-juta rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lebanon dan Syria.
Hubungan agensi itu dengan Israel sudah lama tegang namun bertambah buruk secara mendadak sejak bermulanya perang di Gaza.
Israel telah berulang kali mendesak agar UNRWA dibubarkan, dengan tanggungjawabnya dipindahkan kepada agensi PBB yang lain.
Larangan utiliti asas kepada UNRWA berlaku ketika Israel turut menggantung beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO) antarabangsa yang bertugas di Gaza kerana gagal memenuhi peraturan pendaftaran baru Israel.
Peraturan baru itu, menurut Israel, bertujuan menghalang penyusupan militan ke dalam pertubuhan bantuan, termasuk melalui saringan lebih ketat terhadap kakitangan tempatan Palestin.
Antara syarat utama ialah penyerahan senarai penuh pekerja Palestin untuk tujuan semakan keselamatan.
Pihak berkuasa Israel berkata kumpulan berkenaan gagal menyerahkan maklumat yang diminta sebelum tarikh akhir hujung tahun, walaupun telah diberikan lanjutan operasi atas dasar “niat baik” sejak Mac 2025.
Dalam kenyataan bersama pada 30 Disember, Canada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden, Switzerland dan Britain berkata langkah itu akan memberi kesan yang teruk terhadap akses perkhidmatan penting, termasuk penjagaan kesihatan.
Mereka berkata satu daripada tiga kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza akan ditutup jika operasi NGO antarabangsa dihentikan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg