Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ketua penerangan Umno: Pemecatan MB Perlis tak sah

May 26, 2018 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Pemecatan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, daripada Umno sejurus beliau mengangkat sumpah jawatan itu kelmarin tidak sah.



Berdasarkan Perlembagaan Umno, pemecatan seseorang ahli hanya boleh diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan pengerusi perhubungan negeri tidak mempunyai kuasa itu.



Perkara itu disahkan oleh ketua penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, lapor BH Online.



Pemecatan Datuk Azlan, yang membuat beliau menjadi Menteri Besar tanpa parti, diumumkan oleh pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang mendakwa bahawa ia diputuskan sebulat suara oleh Umno Perlis dalam satu mesyuarat kelmarin.



Namun, Datuk Azlan semalam memulakan tugas sebagai Menteri Besar.



"No more drama (tiada lagi drama), masa untuk bekerja," katanya ringkas kepada pihak media.



Datuk Shahidan, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, berkata keputusan itu dibuat menyusuli penolakan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Perlis terhadap pelantikan Datuk Azlan sebagai Menteri Besar.



"BN Perlis memenangi 10 kerusi daripada 15 kerusi yang dipertandingkan dan majoriti daripada Adun ini tidak memberi sokongan kepadanya.



"Pemecatan beliau sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kini menjalankan tugas presiden Umno dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno," katanya.



Sebelum itu, Umno Perlis bermesyuarat kira-kira dua jam bersama Datuk Ahmad Zahid dan Datuk Hishammuddin.



Datuk Azlan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua di depan Raja Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai pagi kelmarin.



Hanya lima Adun - tiga daripada Pakatan Harapan dan dua daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) - menghadiri upacara angkat sumpah itu.



Semua ADUN daripada BN memulaukan upacara tersebut, membuat Tuanku Syed Sirajuddin marah dan berkata beliau tidak mahu seorang Menteri Besar boneka bagi pihak lain.



Sebelum ini, Datuk Shahidan mengumumkan nama Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya, sebagai calon Menteri Besar.



Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, BN memenangi 10 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan tiga dan PAS dua kerusi.



Datuk Ismail berkeras tidak mahu Datuk Azlan menjadi menteri Besar dan semalam berkata beliau akan mengemukakan lapan nama baru bagi Tuanku Syed Sirajuddin pertimbangkan.



Menekan bahawa beliau sekarang tidak mahu jawatan itu, Datuk Ismail berkata baik beliau mahupun Datuk Azlan tidak harus memimpin negeri itu, lapor New Straits Times semalam.



Mengulas lanjut, Datuk Ismail berkata mereka menolak Datuk Azlan kerana "beliau tidak mempunyai mutu kepimpinan untuk membantu membawa negeri ke tahap lebih tinggi".



Beliau mendakwa Datuk Azlan gagal memenuhi keperluan kawasan undinya sendiri.



Krisis menimbulkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan sekali lagi di Perlis.



Perkara ini turut dicadangkan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, lapor Utusan Online semalam. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >