Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Keyakinan Umno cetus pilihan raya Johor, percaya boleh menang majoriti

MOHD NOOR A. RAHMAN

Jan 31, 2022 | 07:02 AM



SETELAH berminggu timbul desas-desus kemungkinan diadakan pilihan raya negeri (PRN) Johor, akhirnya ia menjadi kenyataan.



Desas-desus itu mula timbul setelah selesainya PRN Melaka, pada November lalu, dan sebulan kemudian PRN Sarawak.



Dalam dua pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno menang besar di Melaka, sementara gabungan parti mesra BN - Gabungan Parti Sarawak (GPS) - menang besar di Sarawak.



PRN Johor lagi hangat diperkatakan berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember lalu.



Oleh itu, tiada kejutan besar apabila Sultan Johor berkenan membubarkan DUN Johor pada 22 Januari, sekali gus memberi laluan kepada PRN negeri itu.



Dari segi kerusi DUN, terdapat 56 kerusi kesemuanya dengan Umno dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) masing-masing mempunyai 14 kerusi; Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) 11; Kongres India Malaysia (MIC) dua; Parti Islam SeMalaysia (Pas) satu; Parti Amanah Negara (Amanah) enam; dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula tujuh.



Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi bagi pembangkang, berikutan kematian Datuk Osman.



Timbul spekulasi Umno mahu membubarkan DUN dan mengadakan PRN demi mengukuh kedudukannya di Johor tanpa parti lain.



CERMINAN KEYAKINAN



Sebelumnya, ia bekerjasama dengan Bersatu, dan ramai mengetahui kerjasama ini penuh durinya.



Kemenangan besar Umno di PRN Melaka dilihat parti itu sebagai cerminan keyakinan rakyat terhadap Umno dan telah meningkatkan keyakinan parti Melayu itu.



Mentelah, Johor adalah benteng kuat Umno sejak merdeka, namun jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya awam 2018, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama membentuk Pakatan Harapan (PH).



Namun, Umno kembali memimpin Johor pada 28 Februari 2020 apabila Bersatu meninggalkan PH.



Diminta mengulas, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata sebab utama yang diberi Umno bahawa majoriti kerajaan Johor hanya satu kerusi tidak begitu meyakinkan.



Ini memandangkan di peringkat persekutuan, kerajaan Datuk Ismail Sabri hanya mempunyai dua kerusi majoriti.



"Saya fikir Umno mahu manfaatkan momentum kemenangan di Melaka, dan juga kekalahan pembangkang di Sarawak.



"PRN Johor ini juga bakal menjadi percubaan bagi Umno dan BN untuk menentukan sokongan sama ada pilihan raya umum boleh diadakan di peringkat pusat pula," katanya kepada Berita Harian (BH).



Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata selagi majoriti kerusi DUN Johor amat kecil dan adanya ancaman menarik balik sokongan oleh parti luar BN, PRN Johor perlu diadakan demi mengelak ketidakstablilan.



"Lagipun, Umno berasa yakin menang besar sekiranya PRN Johor dilakukan segera. Hal ini kerana momentum rakyat yang dilihat menyokong semula Umno/BN sebagai mampu memantapkan keadaan.



"Selain itu, pelabur juga lebih yakin melabur apabila kerajaan Johor mantap terutamanya dalam usaha kerajaan itu menarik pelaburan asing secara langsung," ujarnya.



Bagaimana pula bentuk kerjasama antara pelbagai parti dalam PRN Johor ini?



Kenyataan terbaru Umno menunjukkan BN mahu bertanding sendiri, tanpa kerjasama Perikatan Nasional (PN).



Umno berkata ia mahu bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi dengan kerusi lain ditandingi komponen BN lain seperti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).



Dr Norshahril berkata kemungkinan besar berlaku pertandingan 'tiga penjuru utama' seperti di Melaka membabitkan BN, PN dan PH.



"Cuma mungkin ada sedikit perbezaan. Bagi BN dan PN, sokongan Pas akan ke mana? Mungkin juga Pas akan sokong BN setelah kekalahan teruk di Melaka semasa bersama PN," kongsinya.



BERTARUNG SECARA BERASINGAN



Bagi PH, katanya, mungkin parti pembangkang lain akan sertai gabungan itu, dan PRN ini juga medan percubaan bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).



Memberitahu BH, Profesor Awang Azman berpendapat BN, PN dan PH akan bertarung secara berasingan seperti di PRN Melaka.



"Malah BN kini lebih yakin bergerak secara solo kali ini kerana pengalaman PRN Melaka membuktikan ia boleh menang besar.



"Tambahan pula, Umno melihat PH kurang kuat apabila tewas teruk dalam PRN Melaka, manakala Bersatu dan Pas dilihat bukan ancaman utama di Johor," terangnya.



Menurut penganalisis, antara isu yang dijangka menjadi perbincangan utama termasuk setiap pihak mahu meyakinkan pengundi supaya memberi mereka sokongan kuat agar boleh membentuk kerajaan Johor dengan majoriti besar, yang akan membawa kemantapan politik di Johor.



BOLEH UNDI PADA USIA 18 TAHUN



Mereka juga akan mengetengahkan pelbagai rancangan demi membantu rakyat khususnya dari segi pemulihan ekonomi ekoran wabak Covid-19 dan juga banjir yang berlaku di sebahagian kawasan.



Sementara itu, satu perkembangan baru adalah pengundi berusia 18 tahun dan ke atas kini boleh mengundi di Johor - satu perkembangan yang pasti dimanfaatkan semua parti untuk memenangi hati kira-kira 750,000 pengundi muda.



Ini termasuklah pemimpin parti Muda yang juga Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, yang merupakan penggerak utama projek Undi-18.



Setakat ini, BN dilihat sebagai pilihan untuk menang dalam PRN Johor, ekoran kemenangan besarnya di Melaka, selain Johor sememangnya kubu kuatnya.



Namun, PN dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, orang kuat Johor, tidak boleh diketepikan. PH pula mempunyai penyokong tegar yang agak besar.



Kini, suara-suara ahli politik sudah mula kedengaran untuk memenangi hati 2.5 juta pengundi Johor.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >