Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khamenei angkat individu pendirian sederhana jadi presiden Iran

Jul 29, 2024 | 5:30 AM
Presiden terpilih Iran, Encik Masoud Pezeshkian (kiri), dan Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, menghadiri upacara berkabung sempena sambutan Muharam di Teheran, Iran, pada 12 Julai 2024.
Presiden terpilih Iran, Encik Masoud Pezeshkian (kiri), dan Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, menghadiri upacara berkabung sempena sambutan Muharam di Teheran, Iran, pada 12 Julai 2024. - Foto REUTERS

DUBAI: Apabila pegawai perisikan memberi taklimat kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada Mei lalu menjelang pilihan raya presiden yang diadakan secara mengejut, laporan mereka adalah suram.

Rakyat dilaporkan marah dengan keperitan daripada sudut ekonomi dan tindakan keras terhadap kebebasan sosial.

Kebanyakannya merancang untuk memboikot undi dan peratusan yang keluar mengundi hanya kira-kira 13 peratus.

Ketika itulah Encik Khamenei memutuskan untuk mengadakan pilihan raya presiden yang dirancang dengan teliti, menetapkan pentas untuk individu sederhana yang kurang dikenali tetapi dipercayai, iaitu Encik Masoud Pezeshkian.

Beliau mahu diangkat memegang jawatan presiden, dalam persaingan yang pada mulanya akan dikuasai oleh golongan tegar, dedah sumber kepada agensi berita, Reuters.

CARA PEMIMPIN PENDIRIAN SEDERHANA

Menurut sumber itu, Encik Khamenei mengumpulkan segelintir penasihatnya yang paling dipercayai, untuk membincangkan rancangannya dalam sekurang-kurangnya tiga pertemuan pada akhir Mei, di kediaman beliau di kawasan berkubu di Teheran.

Sumber itu terdiri daripada dua daripada kumpulan tegar, seorang pegawai keselamatan tertinggi dan dua orang dalam yang dekat dengan lingkaran Encik Khamenei.

Pemimpin tertinggi itu bimbang, peratusan yang keluar mengundi rendah dan akan merosakkan kewibawaan pentadbiran pemimpin keagamaan itu.

Beliau mengarahkan mereka yang hadir mencari jalan untuk mengemudi pilihan raya, kata salah seorang yang diberi taklimat mengenai mesyuarat tersebut.

Pilihan raya itu diadakan selepas Presiden Ebrahim Raisi meninggal dunia dalam nahas helikopter pada Mei.

Kematiannya mengganggu rancangan ramai rakan-rakan kumpulan tegar yang mahu beliau menggantikan Encik Khamenei yang berusia 85 tahun.

Ini mencetuskan persaingan dalam kalangan kumpulan tegar untuk mempengaruhi pemilihan pemimpin tertinggi seterusnya.

Pertemuan di kediaman Encik Khamenei turut dihadiri sekumpulan kecil pegawai kanan dan pembantu keselamatan, sekutu rapatnya dan penasihat, Encik Ali Akbar Velayati, serta dua komander kanan Pengawal Revolusi elit yang berkuasa.

Matlamat Encik Khamenei adalah untuk mengekalkan Republik Islam di tengah-tengah perbezaan pendapat dalam negeri, dan ketegangan yang semakin meningkat melibatkan Barat dan Israel mengenai Gaza.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan penglibatan sekutu Teheran, Hezbollah di Lebanon, dan Houthi di Yaman.

Sumber Khamenei percaya Iran memerlukan seorang presiden yang boleh menarik minat lapisan masyarakat yang berbeza, tetapi tidak akan mencabar teokrasi Syiah yang memerintah.

Beberapa nama telah diajukan semasa mesyuarat kedua.

Encik Khamenei mencadangkan Encik Pezeshkian sebagai seorang yang boleh memupuk perpaduan dalam kalangan mereka yang berkuasa, merapatkan jurang antara pemimpin keagamaan dengan rakyat, serta memastikan proses pemilihan yang lancar untuk pemimpin tertinggi seterusnya, kata dua sumber.

“Ia adalah rancangan yang sempurna oleh pemimpin tertinggi... yang menjamin kelangsungan Republik Islam,” kata penganalisis proreformasi yang berpangkalan di Teheran, Encik Saeed Laylaz.

ATUR PILIHAN RAYA

Presiden baru itu dijangka tidak akan memulakan sebarang peralihan besar mengenai dasar nuklear atau dasar luar Iran, atau sokongannya terhadap militia di rantau itu, tetapi beliau akan terlibat rapat dalam memilih pengganti Encik Khamenei.

Profil lembut Encik Pezeshkian, kata sumber, akan menenangkan rakyat Iran yang tidak berpuas hati, memastikan kestabilan domestik di tengah-tengah tekanan asing yang semakin meningkat, serta menyediakan Encik Khamenei sekutu yang dipercayai, dalam proses penggantian kelak.

Fasa awal rancangan Encik Khamenei dimulakan, apabila penggubal undang-undang ketika itu, Encik Pezeshkian – digalakkan oleh bekas pegawai pragmatik yang mempunyai kaitan dengan pejabat pemimpin tertinggi itu – mendaftar untuk bertanding dalam pilihan raya 28 Jun, kata dua sumber.

Mereka berkata Encik Pezeshkian tidak mengetahui keputusan di sebalik tabir.

Satu sumber berkata, beliau tidak menyangka akan diluluskan oleh Majlis Penjaga, sebuah badan pemeriksa yang tidak dipilih yang terdiri daripada enam ulama dan enam ahli perundangan yang bersekutu dengan Encik Khamenei yang telah melarang ramai calon konservatif sederhana dan terkemuka pada masa lalu.

Rancangan Encik Khamenei disusun rapi supaya kelihatan adil dan demokratik.

Dua calon daripada kumpulan tegar terkemuka, iaitu bekas perunding nuklear, Encik Saeed Jalili, dan speaker parlimen, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, telah diluluskan oleh majlis penapis, kata sumber.

Encik Jalili tergolong dalam kem ultra-keras ‘Paydari’.

Kemenangannya, yang menentang perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa dunia, akan memberikan isyarat negatif kepada Barat.

“Dengan kemungkinan Donald Trump kembali ke Rumah Putih... Republik Islam memerlukan pemimpin berhaluan sederhana untuk memastikan dialog dengan Barat terbuka dan mengurangkan ketegangan,” kata seorang diplomat Barat di rantau itu.

Jurucakap Majlis Penjaga berkata: “Ia adalah pilihan raya yang telus dan tidak berat sebelah.”

Encik Jalili dan Encik Qalibaf tidak dapat dihubungi, untuk mendapatkan komen mereka.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata: “Kami tidak boleh membuat spekulasi mengenai teori tertentu tentang apa yang mungkin berlaku di sebalik tabir pilihan raya presiden Iran baru-baru ini.

“Apa yang boleh kami katakan dengan pasti ialah pilihan raya di Iran tidak bebas dan tidak adil.”

HASIL YANG DIINGIN

Encik Pezeshkian, yang merupakan etnik minoriti Azeri, memenangi pusingan pertama dengan teras pengundi yang dikatakan penganalisis kebanyakannya adalah kelas pertengahan bandar atau kumpulan muda yang kecewa secara meluas akibat tindakan keras keselamatan selama bertahun-tahun.

Tetapi peratusan yang keluar mengundi hanya 40 peratus, yang paling rendah dalam mana-mana pilihan raya di Republik Islam, dan pilihan raya itu menyaksikan pertandingan antara Encik Pezeshkian dengan Encik Jalili yang ketara anti-Barat.

Encik Qalibaf, seorang penjaja keselamatan, yang bersependapat dengan Encik Khamenei dalam setiap isu utama, menduduki tempat ketiga.

Ekoran takut tentang dasar dalam dan luar negeri yang bermusuhan daripada Encik Jalili, ramai rakyat Iran yang mengundi Encik Qalibaf, atau berkecuali, beralih menyokong Encik Pezeshkian pada pusingan kedua pada 5 Julai, meningkatkan perolehan kepada hampir 50 peratus daripada 61 juta pengundi Iran.

Akhirnya, rancangan Encik Khamenei mencapai hasil yang diinginkan.

Encik Pezeshkian, seorang pakar bedah jantung berusia 69 tahun, disokong oleh reformis, konservatif sederhana dan etnik minoriti, menang dengan 54 peratus undi.

Beliau, yang setia kepada pemerintahan teokratik Iran, telah berjanji untuk meneruskan dasar luar yang pragmatik, meredakan ketegangan berhubung rundingan yang kini terhenti untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa besar, dan meningkatkan prospek liberalisasi sosial. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg