Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhutbah Arafah haji 2026 diterjemah dalam 35 bahasa, Saudi perluas dakwah digital global
Khutbah Arafah haji 2026 diterjemah dalam 35 bahasa, Saudi perluas dakwah digital global
Khutbah Arafah haji 2026 diterjemah dalam 35 bahasa, Saudi perluas dakwah digital global
RIYADH: Arab Saudi mengumumkan khutbah Arafah sempena musim Haji 2026 akan diterjemahkan ke dalam 35 bahasa dan disiarkan melalui pelbagai platform digital bagi membolehkan umat Islam di seluruh dunia mengikuti mesej penting itu secara lebih meluas.
Presidensi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata langkah tersebut bertujuan memastikan jemaah dan umat Islam bukan berbahasa Arab dapat memahami kandungan khutbah yang dianggap antara pidato agama paling penting dalam dunia Islam setiap tahun.
Ketua Presidensi Hal Ehwal Agama, Sheikh Abdulrahman Al Sudais, berkata inisiatif itu mencerminkan usaha Arab Saudi menyampaikan mesej Islam yang sederhana dan penuh kemanusiaan kepada masyarakat global.
“Projek terjemahan ini membolehkan umat Islam bukan Arab memahami nilai kerohanian dan kemanusiaan yang dibawa dalam khutbah Arafah,” katanya.
Beliau berkata usaha itu juga menunjukkan komitmen kerajaan Arab Saudi dalam berkhidmat kepada Islam dan umat Islam, selain memperkukuh pengalaman ibadah jemaah melalui penggunaan teknologi moden dan platform komunikasi digital.
Menurut beliau, pasukan teknikal, media dan penterjemah khas telah digerakkan bagi memastikan siaran khutbah itu dapat mencapai jumlah penonton seramai mungkin dengan standard profesional yang tinggi.
Khutbah Arafah disampaikan setiap tahun pada Hari Arafah ketika kemuncak ibadah Haji dan diikuti jutaan umat Islam di seluruh dunia melalui televisyen, radio dan platform dalam talian.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Arab Saudi turut mengumumkan bahawa segala persiapan keselamatan dan operasi bagi musim Haji 2026 telah selesai dilaksanakan menerusi pelan operasi menyeluruh melibatkan anggota tentera, perubatan, teknikal dan pasukan awam.
Kementerian itu berkata pelan tersebut diwujudkan untuk membantu agensi keselamatan dan kerajaan memastikan keselamatan jemaah serta melancarkan pergerakan mereka di Makkah, Madinah dan kawasan tanah suci.
Pasukan tentera darat akan membantu dalam pengurusan pergerakan jemaah serta pengesanan bahan berbahaya, manakala Tentera Udara Diraja Arab Saudi akan memantau ruang udara, mengawal trafik udara dan menjalankan operasi pemantauan kecemasan sepanjang musim Haji.
Tentera laut pula akan menyokong operasi keselamatan di pelabuhan serta kawasan tanah suci melalui pasukan pengesan bahan letupan, operasi dron dan unit mencari dan menyelamat.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata aspek kesihatan turut diberi perhatian besar tahun ini apabila perkhidmatan perubatannya ditempatkan di 41 lokasi termasuk hospital dan klinik yang menyediakan lebih 1,100 katil untuk jemaah.
Lebih 2,160 petugas perubatan juga telah dikerahkan bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan cepat dan berkesan sepanjang musim Haji.
Selain itu, empat pesawat khas untuk pemindahan perubatan udara akan beroperasi sepanjang masa bagi menangani sebarang kecemasan melibatkan jemaah.
Pihak kementerian berkata selain operasi keselamatan dan kesihatan, mereka turut menyediakan program bimbingan agama serta menerima kehadiran atase tentera asing sepanjang musim Haji.
Langkah memperluaskan terjemahan khutbah Arafah dan penggunaan teknologi digital dilihat sebahagian daripada usaha lebih besar Arab Saudi untuk menjadikan pengurusan Haji lebih moden, tersusun dan inklusif ketika jumlah jemaah dari seluruh dunia terus meningkat setiap tahun. - Agensi berita
