Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kim selar cara pegawai tangani penularan Covid-19

May 19, 2022 | 5:30 AM
PENGERUSIKAN MESYUARAT: Encik Kim Jong Un dilihat mempengerusikan satu mesyuarat politburo Parti Pekerja yang memerintah kelmarin. - Foto AFP
PENGERUSIKAN MESYUARAT: Encik Kim Jong Un dilihat mempengerusikan satu mesyuarat politburo Parti Pekerja yang memerintah kelmarin. - Foto AFP -

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, menyelar tindak balas negaranya terhadap wabak Covid-19 yang kali pertama disahkan sebagai "tidak matang".

Beliau juga menuduh pegawai pemerintah sebagai tidak membuat persediaan mencukupi sedang ribuan kes demam terus melanda negara itu, lapor media tempatan semalam.

Korea Utara melaporkan 232,880 lagi orang mengalami gejala demam, dan enam lagi kematian selepas negara itu kali pertama mengesahkan kes Covid- 19 minggu lalu.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai orang telah diuji positif Covid-19.

Mempengerusikan satu mesyuarat politburo Parti Pekerja yang memerintah kelmarin, Encik Kim berkata "ketidakmatangan dalam keupayaan negara untuk menghadapi krisis" meningkatkan "kerumitan dan kesukaran" dalam memerangi wabak itu, menurut media KCNA.

Sejak pengakuan pertama wujudnya wabak Covid-19, Korea Utara telah melaporkan 1.72 juta pesakit dengan gejala demam, termasuk 62 kematian setakat kelmarin petang.

Namun, negara itu juga menyatakan keadaan wabak di negara itu sedang "bertambah baik".

Laporan itu tidak menjelaskan alasan Korea Utara membuat penilaian positif tersebut.

Negara itu belum memulakan sebarang vaksinasi besar-besaran dan mempunyai keupayaan ujian terhad, menyebabkan ramai pakar bimbang bahawa mungkin sukar untuk menilai sejauh mana penyakit itu merebak secara meluas dan pantas di negara itu.

KCNA melaporkan pegawai kesihatan telah membangunkan panduan rawatan Covid-19 yang bertujuan mengawal penularan lanjut.

Dalam menghadapi lonjakan wabak Covid-19, Korea Utara telah menggerakkan angkatan tenteranya, termasuk 3,000 kakitangan perubatan tentera bagi menyediakan sistem penghantaran ubat 24 jam, dengan 500 kumpulan respons untuk mengesahkan dan merawat pesakit yang dijangkiti, kata media pemerintah.

Negara jiran, Korea Selatan, telah menawarkan menghantar bekalan perubatan termasuk vaksin, pelitup dan kit ujian ke Korea Utara tetapi Pyongyang masih belum memberi sebarang respons. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg