Topik diikuti
Pergi ke BHkuKit Siang umum bersara, Guan Eng undur diri Setiausaha Agung DAP
Kit Siang umum bersara, Guan Eng undur diri Setiausaha Agung DAP
Kit Siang umum bersara, Guan Eng undur diri Setiausaha Agung DAP

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen (AP) Bagan di Malaysia, Encik Lim Guan Eng, telah mengundur diri sebagai setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), sementara bapanya dan ketua veteran parti itu, Encik Lim Kit Siang, telah bersara dari politik.
Pengumuman itu dibuat kelmarin, di Kongres Kebangsaan ke-17 DAP di Shah Alam.
Dalam ucapannya di kongres itu, Encik Lim Guan Eng berkata DAP sedang berada dalam generasi peralihan di mana setiausaha agung baru akan dipilih.
"Ini adalah ucapan terakhir saya sebagai setiausaha agung dan saya menghargai semua sokongan yang diberikan parti kepada saya," kata Encik Lim.
"Saya amat berbangga kerana sepanjang tempoh jawatan saya sebagai setiausaha agung, DAP telah melalui perubahan daripada aspirasi menjadi parti pembangkang terbesar kepada aspirasi menjadi kerajaan selanjutnya.
"Kami telah menunjukkan DAP berupaya memerintah Malaysia," kata beliau.
Encik Lim Guan Eng telah menerajui parti selama 17 tahun.
Beliau tidak boleh dipilih semula bagi jawatan setiausaha agung kerana telah berkhidmat selama tiga penggal maksimum yang diperuntuk.
Dalam satu sidang akhbar kelmarin, Jawatankuasa Pusat Eksekutif (CEC) DAP yang baru mengumumkan AP Seremban, Encik Anthony Loke sebagai setiausaha agung baru parti itu.
Pembaharuan kepimpinan DAP ini dilakukan berlatar kelakonan di bawah jangkaan parti itu di pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Di PRN Johor baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi, sementara DAP mengekalkan 10 daripada 14 kerusi yang dimilikinya.
Dalam ucapannya, Encik Lim Guan Eng akur parti itu mempunyai beberapa kelemahan dan menggesa rakan bersekutu PH bersatu menjelang pilihan raya umum (PRU).
"PH harus bertindak dengan lebih baik untuk menyampaikan mesej kami jika kami ingin mendapatkan semula sokongan rakyat.
"Untuk berjaya, kita tidak seharusnya mempersalahkan orang lain apabila kita hilang sokongan tetapi melihat pada kelemahan diri sendiri... seperti mengapa bilangan pengundi rendah," kata Encik Lim Guan Eng.
"Kami perlu berani menghadapi rekod kami sendiri semasa kami berada dalam kerajaan PH."
Encik Lim Guan Eng, 61 tahun, juga menggesa PH menggunakan lambang yang dikongsi untuk menunjukkan perpaduan mengejar matlamat yang sama antara rakan bersekutu.
Beliau berkata kerjasama sebegini membantu PH memenangi PRU 2018, dengan DAP memenangi 42 kerusi parlimen.
Namun, kerajaan PH yang diketuai mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipaksa keluar pada Februari 2020, dalam satu tindakan politik yang digelar "Tindakan Sheraton".
Perkembangan itu menyebabkan PH kehilangan kuasa kerajaan di peringkat persekutuan dan juga di beberapa negeri. - Agensi berita.
"Saya amat berbangga kerana sepanjang tempoh jawatan saya sebagai setiausaha agung, DAP telah melalui perubahan daripada aspirasi menjadi parti pembangkang terbesar kepada aspirasi menjadi kerajaan selanjutnya." - Encik Lim Guan Eng.
