KUALA LUMPUR: Percubaan tiga kumpulan pengganas daripada sel berbeza melancarkan serangan semasa Sukan SEA Kuala Lumpur dan Hari Kemerdekaan Malaysia berjaya dipatahkan apabila 19 orang, termasuk 11 warga asing, diberkas dalam serbuan di empat negeri baru-baru ini.
Kesemua mereka - disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, IS dan Jamatul Mujahideen Bangladesh (JMB) - ditahan Bahagian Antipengganasan Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan dari 4 Julai hingga 30 Ogos lalu, lapor Utusan Online semalam.