Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Konfrontasi AS-China satu 'bencana' kata Xi kepada Biden

Pemimpin AS, China adakan perbualan telefon pertama sejak pilihan raya presiden
Feb 12, 2021 | 05:30 AM



BEIJING/WASHINGTON: Konfrontasi antara China dengan Amerika Syarikat adalah satu bencana dan kededua negara harus mewujudkan semula keupayaan untuk mengelak membuat keputusan yang salah mengenai satu sama lain, kata Presiden China Xi Jinping dalam perbualan telefon pertama dengan Presiden Amerika Joe Biden.



Panggilan telefon yang diadakan semalam adalah yang pertama antara kededua pemimpin sejak Encik Biden menjawat pejabat presiden.



Ia juga diadakan sedang Beijing dan Washington bertelingkah mengenai isu dagang, Hong Kong, Laut China Selatan, Taiwan dan dakwaan mengenai layanan yang diberikan pemerintah China terhadap Muslim Uighur di Xinjiang.



Dalam perbualan itu, Encik Xi menekankan lagi kerjasama antara kededua negara itu adalah satu-satunya pilihan dan semua pertikaian harus diuruskan dengan cara yang membina, menurut laporan yang disiarkan di televisyen oleh syarikat penyiaran negara.



Encik Xi juga berkata Beijing dan Washington seharusnya mewujudkan semula pelbagai wadah perbincangan untuk memahami hasrat masing-masing dan mengelak salah faham," kata laporan tersebut.



Mengenai Taiwan, Hong Kong dan Xinjiang, beliau memberitahu Encik Biden harapannya supaya Amerika bersikap berhati-hati kerana ia berhubung isu kedaulatan China dan integriti bidang kuasanya.



Ini adalah kali pertama Encik Xi berbual melalui telefon dengan seorang presiden Amerika sejak beliau berbual dengan mantan presiden Encik Donald Trump pada Mac tahun lalu.



Sementara itu, Encik Biden mengutarakan keprihatinannya mengenai amalan ekonomi China yang bersifat kurang adil dan mendesak, menurut Rumah Putih.



Encik Biden memberitahu Encik Xi keutamaan Amerika adalah mempertahankan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dan menekankan keprihatinan asas mengenai tindakan China di Hong Kong, penganiayaan di Xinjiang dan cara ia melayan Taiwan, menurut kenyataan Rumah Putih.



Encik Biden dan Encik Xi juga bertukar pandangan mengenai cara menangani pandemik Covid-19, serta cabaran lain yang dihadapi bersama seperti perubahan iklim dan mencegah penambahan senjata, yang menekankan hasrat Amerika bekerjasama dengan Beijing untuk menggesa Korea Utara melucutkan senjata nuklear, kata Rumah Putih.



Selepas panggilan telefon itu, seorang pegawai kanan dalam pentadbiran Encik Biden memberitahu wartawan presiden Amerika itu bercadang mengambil pendekatan praktikal dan dan menunjukkan pendirian kukuh dengan Encik Xi, tetapi tetap ingin memastikan kededua pihak terus mempunyai wadah perhubungan terbuka.



Pegawai itu juga berkata Amerika percaya bahawa ia berada dalam kedudukan yang kukuh pada masa ini dan justeru, yakin meluahkan keprihatinan mengenai perbuatan China yang agresif.



Namun, beliau berkata agenda Encik Biden bagi panggilan telefon itu tidak termasuk penyertaan Amerika dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, meskipun ada permintaan kian bertambah mengenai rekod hak manusia China dan keyakinan Washington minoriti Muslim di Xinjiang telah dibunuh dengan sengaja.



Pentadbiran Encik Biden, dalam beberapa bulan akan datang juga bercadang untuk menambah beberapa sekatan terkhusus ke atas China, terutama berhubung teknologi.



Beliau juga berkata Amerika tidak bercadang mengorak langkah terburu-buru untuk meniadakan tarif dagang yang dikenakan pentadbiran Trump ke atas China.



Sebaliknya, ia bercadang mengadakan lebih banyak rundingan dengan negara-negara lain untuk menangani isu dagang tidak seimbang dengan Beijing. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >