Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontroversi asal usul Covid-19 belum reda...

Presiden AS arah siapkan laporan dalam 3 bulan, mahu pastikan virus berpunca dari haiwan atau makmal di China
May 29, 2021 | 5:30 AM
PRESIDEN BIDEN: Agensi perisikan harus melipatgandakan usaha mengumpulkan dan menganalisis maklumat yang boleh membuat kesimpulan yang pasti.- Foto REUTERS
PRESIDEN BIDEN: Agensi perisikan harus melipatgandakan usaha mengumpulkan dan menganalisis maklumat yang boleh membuat kesimpulan yang pasti.- Foto REUTERS -

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mengarahkan agensi perisikannya menyiapkan laporan mengenai asal-usul Covid-19 dalam tiga bulan.

Beliau secara khusus mahu mengetahui sama ada koronavirus itu, yang pertama kali dikesan di China, berpunca daripada sumber haiwan atau akibat kemalangan di makmal.

"Agensi perisikan harus melipatgandakan usaha mereka untuk mengumpulkan dan menganalisis maklumat yang boleh membuat kesimpulan yang pasti.

"Mereka diarah melaporkan kembali kepada saya dalam tempoh 90 hari," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih.

Menurut Encik Biden, kini terdapat dua kemungkinan berhubung sumber virus yang sudah menjangkiti hampir 170 juta penduduk dunia dan mengorbankan lebih 3.5 juta nyawa.

Arahan Encik Biden itu menandakan peningkatan kontroversi mengenai bagaimana virus itu pertama kali muncul, sama ada melalui kontak haiwan di pasar di Wuhan, China, atau melalui makmal penyelidikan dengan ciri keselamatan yang sangat ketat.

Jawapan persoalan itu mempunyai implikasi besar buat China, yang menegaskan ia tidak bertanggungjawab terhadap wabak terbabit dan juga kepada politik Amerika, di mana teori makmal digunakan oleh Republikan untuk menyerang Beijing.

Pada Mac lalu, Encik Biden berkata beliau meminta laporan berhubung asal usul virus, termasuk sama ada ia berpindah kepada kontak manusia daripada binatang yang dijangkiti atau akibat kemalangan di makmal, khususnya Institut Virologi Wuhan (WIV).

"Setakat ini, perisikan Amerika menyatukan dua senario yang mungkin berlaku tetapi belum mencapai kesimpulan yang pasti mengenai persoalan ini," katanya.

Sebelum ini, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tiga penyelidik WIV di China mendapatkan rawatan di hospital pada November 2019, beberapa bulan sebelum China mendedahkan wabak Covid-19.

WSJ dilaporkan memetik laporan perisikan Amerika yang sebelum ini tidak pernah didedahkan.

Menurut akhbar itu, laporan yang memperincikan mengenai jumlah penyelidik terjejas, waktu mereka sakit dan rawatan di hospital, memerlukan siasatan lanjut sama ada virus itu terlepas dari makmal.

Laporan itu didedahkan menjelang pertemuan badan pembuat keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dijangka membincangkan fasa siasatan lanjut mengenai asal usul Covid-19.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara tidak memberikan komen mengenai laporan itu tetapi berkata bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden sentiasa mengemukakan persoalan serius mengenai tempoh terawal wabak termasuk asal usulnya di China.

Menurut sumber, Washington mahu memastikan kerjasama dan ketelusan yang lebih daripada negara terbabit.

Beijing pada 25 Mei lalu menyangkal dakwaan laporan bahawa tiga penyelidik di Wuhan dirawat di hospital tidak lama sebelum kemunculan Covid-19 di bandar itu dan seterusnya di seluruh dunia dengan menyifatkan laporan itu sama sekali tidak benar.

Sejak jangkitan mangsa pertama di pusat bandar itu pada akhir 2019, patogen itu menular hampir ke setiap negara di dunia, membunuh lebih 3.4 juta orang dan menjejaskan ekonomi dunia.

Sehingga kini Beijing secara konsisten menafikan virus itu tersebar dari makmalnya.

China mendedahkan adanya kes pneumonia di Wuhan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO pada 31 Disember 2019.

Ditanya mengenai laporan itu, jurucakap Kementerian Luar, Encik Zhao Lijian, menyifatkannya sebagai sama sekali tidak benar.

Beliau berkata menurut kenyataan institut itu, pihak mereka belum pernah terdedah dengan virus Covid-19 sebelum 30 Disember 2019 dengan rekod sifar jangkitan dalam kalangan kakitangan dan graduan.

Bagaimanapun menurut pihak berkuasa China, koronavirus itu dibawa ke makmal untuk kajian.

Secara global, jumlah kes Covid-19 mencecah 169 juta dengan 3.51 kematian sejauh ini, menurut perangkaan Worldometer.

Syarikat mendahului dengan 33.2 juta kes jangkitan dan 593,000 kematian. Ia diikuti dengan India dengan 27.4 juta kes jangkitan dan 315,000 kematian.

Brazil menjadi negara ketiga dengan 16.3 juta kes jangkitan dan 457,000 kematian dan kemudiannya diikuti dengan Perancis dengan 5.92 kes jangkitan dan 108,000 kematian. - BHM, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg